"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Nik Omar hilang 2 hari sebelum jadi calon HARAPAN

Akhbar web PAS melaporkan anak allahyarham bekas mursyidul am PAS Nik Omar Nik Abdul Aziz dikatakan tidak dapat dikesan keluarga sejak dua hari lalu, namun hari ini tiba-tiba muncul sebagai calon Pakatan Harapan di Chempaka.

Memetik sumber, Harakahdaily, melaporkan keluarganya tidak dapat mengesan Nik Omar sejak beberapa hari lalu.

Malaysiakini sedang cuba mendapatkan penjelasan anak kedua Datuk Nik Aziz Nik Mat itu.
Sementara itu, Harakahdaily juga melaporkan Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (atas) melahirkan rasa terkejut dengan keputusan Nik Omar menjadi calon HARAPAN.

Nik Omar akan bertembung dengan calon PAS dan BN di kerusi tradisi arwah bapanya itu.

"Sebenar arwah Tok Guru Nik Abdul Aziz pernah berpesan kepada anak-anak agar meneruskan perjuangan PAS tetapi secara peribadinya saya terkejut.

"Apa pun, restu bonda sangat penting, kita hidup di dunia ini bukannya sehari dua apa pun perbuatan kita restu bonda sangat penting," katanya ketika ditemui di pusat penamaan calon di Kompleks Balai Islam hari ini.

Nik Abduh ketika ditanya mengenai restu ibunya pagi tadi enggan mengulas lanjut dan hanya berkata “insya-Allah”.

Dipecat lepas disahkan

Sementara itu, Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, Nik Omar hanya anggota biasa PAS dan tidak mempunyai sebarang jawatan.

Bagaimanapun katanya, seseorang anggota yang bertanding atas tiket parti lain tidak jatuh keanggotaan secara automatik.

“Kita akan kumpulkan bukti sama bergambar atau apa sahaja sebelum mengambil tindakan lanjut.

“Selepas disahkan barulah boleh dipecat. Kita sebenar tidak terkejut dengan tindakan Nik Omar kerana dia hanya seorang ahli biasa. Bekas timbalan presiden PAS pun tanding atas parti lain.

“Dalam keadaan ini kita pun tidak terkejut kerana nama dia sudah lama dikait dengan parti itu,” beliau dipetik sebagai berkata.
Adik Nik Omar, Nik Abduh (atas) yang sebelum ini turut disebut-sebut bakal bertanding di Chempaka hari ini menjadi calon kerusi parlimen Bachok atas tiket PAS.

Nik Abduh diiringnya ibunya, Tuan Sabariah Tuan Ishak ketika menghantar borang pencalonan.
-malaysiakini

Tiada ulasan: