Kow Gah Chie
Wakil rakyat PKR akan dikenakan denda RM10 juta jika mereka melompat parti, kata seorang pemimpin kanan parti itu.
Datuk Johari Abdul berkata PKR telah memulakan amalan itu sejak 2013 susulan beberapa pemimpin mereka beralih arah selepas pilihan raya umum 2008.
Bagaimanapun, dalam pilihan raya umum lalu, calon-calon cuba berjanji secara lisan mereka akan membayar RM1 juta jika melompat parti, kata Johari.
“Tetapi ia tidak didokumenkan dan kita kita sediakan dokumen sah. Jadi itu tidak dikira,” katanya.
Bagaimanapun, kali ini, katanya kesemua calon di kerusi parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) telah menandatangani dokumen itu semalam.
PKR mengeluarkan watikah calonnya semalam.
“Sekarang wakil-wakil kena fikir dua kali (untuk lompat parti), melainkan kamu ada RM10 juta,” katanya.
Sebuah harian berbahasa Inggeris hari ini turut melaporkan Pengerusi PKR Negeri Sembilan Aminuddin Harun mengaku telah menandatangani dokumen berkaitan.
Sementara itu, Johari berkata beberapa wakil rakyatnya telah belot dalam dua pilihan raya umum terakhir ini, terutamanya di Sabah.
Pada 2010, anggota parlimen Bayan Baru Datuk Zahrain Mohamed Hashim keluar PKR, menjadi calon bebas dan kemudian menyertai Umno.
Beliau dilantik sebagai duta Malaysia di Indonesia.
Pada tahun 2016, anggota parlimen Penampang Darell Leiking dan dua anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) -- Lajim Ukin (Klias ) dan Terrence Siambun (Moyog) menyertai Parti Warisan Sabah.
Lajim ketika itu pengerusi PKR negeri.
Sementara itu, PKR berkata, RM10 juta yang dikutip itu akan disumbangkan kepada orang ramai.
“Wang itu bukan untuk parti, wakil rakyat itu bayar pada kami, kami akan bayar pada rakyat,” katanya.
Johari berkata dokumen yang ditandatangani wakilnya akan terikat secara langsung secara undang-undang.
PKR akan bertanding di 51 parlimen dan 131 DUN.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan