"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

‘Akar umbi PAS yang berpegang prinsip Nik Aziz tak akan undi Umno’

Sokongan akar umbi PAS dijangka beralih arah kepada undi protes dengan mereka tidak mengundi pemangku Presiden Umno, Mohamad Hasan pada pilihan raya kecil Rantau akan datang, kata Naib Ketua Pemuda PKR, Syed Badli Shah Syed Osman.

Beliau berkata ini kerana akar umbi PAS kecewa dengan hubungan rapat pemimpin mereka dengan Umno, yang pernah menjadi musuh utama parti Islam itu.

“Akar umbi PAS yang sekian lama mendukung prinsip perjuangan menolak kebobrokan Umno dan BN kini berada dalam keadaan keliru dan tertekan dengan kehendak pimpinan mereka yang mahukan kerjasama politik bersama Umno.

“Sedangkan prinsip yang dipegang oleh akar umbi PAS sekian lama adalah menolak Umno.

“Keyakinan akar umbi PAS semakin terhakis apabila PAS menarik balik saman terhadap portal Sarawak Report yang mengaitkan PAS menerima sejumlah wang dari Umno,” katanya dalam satu kenyataan pada petang ini.

Syed Badli berkata beliau yakin sebahagian besar penyokong dan akar umbi PAS yang masih kekal bersama prinsip yang dibawa oleh Allahyarham Nik Aziz Nik Mat akan menolak kerjasama Umno dengan PAS.

“Umno kini berada dalam keadaan yang amat terdesak sehingga terpaksa memperalatkan PAS dengan dakyah penyatuan Melayu demi mengukuhkan kembali kedudukan Umno yang sedang nazak.

“Justeru, saya yakin akar umbi PAS khususnya di Rantau akan menolak Umno sebagai tanda protes terhadap kerjasama Umno PAS,” katanya.

PAS dan Umno rasmi 'bersanding' pada 5 Mac lalu selepas kerjasama mereka terbukti berjaya pada pilihan raya kecil di Cameron Highlands dan Semenyih.

Sementara itu, Rantau adalah kerusi negeri majoriti Melayu dengan sejumlah besar pengundi Cina dan India.

Pada pilihan raya umum lalu, Mohamad diisytiharkan menang tanpa bertanding selepas Suruhanjaya Pilihan Raya menghalang lawannya dari PKR, Dr S Streram, daripada mengemukakan kertas pencalonannya.

Streram kemudiannya memfailkan petisyen pilihan raya dan mahkamah memerintahkan supaya pilihan raya kecil diadakan. Pakatan Harapan sekali lagi akan mencalonkannya di kerusi itu pada pilihan raya 13 April nanti.

Tiada ulasan: