"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Latheefa lepas jawatan ketua SPRM beberapa hari lalu

Malaysiakini
Lima hari selepas Muhyiddin Yassin mengangkat sumpah sebagai perdana menteri kelapan Malaysia, tersebar khabar mengatakan ketua Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) meletak jawatan.

Hal itu mula diperkatakan malam ini ekoran beberapa laporan media mengenai Latheefa Koya.

Menurut sumber Malaysiakini, Latheefa - yang dilantik sebagai ketua pesuruhjaya SPRM oleh Dr Mahathir Mohamad - membuat keputusan untuk meletak jawatannya beberapa hari lalu.

Bagaimanapun tidak diketahui alasan mengapa Latheefa bertindak begitu.

Peletakan jawatan itu - jika benar - adalah yang kedua membabitkan pegawai kanan kerajaan selepas Tommy Thomas meninggalkan jawatannya sebagai peguam negara pada 28 Feb lalu.

Latheefa dan Thomas dilantik ke jawatan masing-masing ekoran kemenangan Pakatan Harapan (PH) dalam PRU ke-14 pada Mei 2018.

Beberapa media melaporkan tugas ketua pesuruhjaya SPRM kini dipangku timbalan Latheefa, Azam Baki.

Malaysiakini sudah menghubungi Latheefa dan Azam untuk mendapatkan reaksi mereka namun setakat ini belum berjaya.

Sementara itu Sinar Harian melaporkan Latheefa mengadakan pertemuan dengan Muhyiddin di Putrajaya pagi tadi sebelum beliau ke mahkamah untuk memberi keterangan dalam perbicaraan kes rasuah Najib Razak.

Kata akhbar itu, Azam akan menggantikan Latheefa mulai Isnin ini.

Sumber lain pula memaklumkan, kakitangan SPRM diberitahu ada perhimpunan khas akan diadakan di ibu pejabat agensi antirasuah itu pada 9 Mac ini.

"Semua ketua-ketua bahagian diwajibkan hadir dalam perhimpunan khas itu," katanya yang enggan dikenali.

Untuk rekod Latheefa memulakan tugas sebagai ketua pesuruhjaya SPRM mulai 1 Jun tahun lalu untuk tempoh dua tahun.

Sementara itu dalam reaksi segeranya, Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil, berkata jika benar Latheefa meletakkan jawatannya, ia merupakan satu tamparan kepada langkah memerangi rasuah yang dijalankan kerajaan sebelum ini.

"Baru pagi tadi Latheefa berkata kekayaan melimpah Ku Nan (Tengku Adnan Tengku Mansor) akan diselidik, dan khabar angin bertiup mengenai peletakan jawatannya. Ini bukan sesuatu yang elok," ciapnya di Twitter.

Tiada ulasan: