"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Tindakan Pas bersekongkol dengan kerajaan pintu belakang memalukan

SITI NUR ZAWANI MISCON
Sehari selepas istiadat angkat sumpah Perdana Menteri Ke-8, kritikan mula dilontarkan kepada pimpinan kerajaan baharu itu terutamanya kepada parti Pas yang dikecam sebagai melakukan tindakan memalukan dengan menyokong kerajaan pintu belakang.

Ketua Pemuda AMANAH Terengganu, Zamir Ghazali berkata, tindakan Pas bersekongkol dengan beberapa ahli parlimen untuk menubuhkan kerajaan bersama Umno dan Barisan Nasional (BN) itu sebagai satu perbuatan khianat terhadap mandat rakyat.

“Pas seharusnya tahu bahawa langkah itu adalah satu pengkhianatan terhadap mandat rakyat Malaysia yang memilih Pakatan Harapan (PH) pada PRU14 yang lalu.

“Sekaligus ini memberi gambaran bahawa rakyat menolak Umno-Bn yang korup hingga dikenali sebagai kerajaan kleptokrat di seluruh dunia.

“Pas sebagai sebuah parti yang membawa nama Islam tidak seharusnya terlibat dalam usaha keji itu,” tegasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya lagi, perbuatan khianat juga tidak seharusnya berlaku apatah lagi terhadap kerajaan PH yang bertindak memberi keadilan kepada negeri pentadbiran Pas termasuk memulangkan royalti di Kelantan dan Terengganu.

Bidasnya, tindakan Pas itu sebagai memalukan agama dan hanya menyerlahkan parti Islam itu sekadar parti yang mempergunakan agama namun sebenarnya mengejar kekuasaan.

“Tragedi kudeta terhadap Dr Morsi di Mesir pada 2013 dan Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Perak pada 2009 sewajarnya diambil pengajaran, bukannya dicontohi.

“Sanggupkan ahli-ahli Pas berada dalam sebuah parti yang tidak bermaruah?,” soalnya.

Tiada ulasan: