MALAYSIA DATELINE
Pengarah Komunikasi AMANAH Khalid Samad berpendapat penahanan Setiausaha Politik Presiden AMANAH, Mohamad Sabu seperti sengaja mahu mewujudkan persepsi PH juga terlibat rasuah seperti pemimpin BN dan PN.
Menurutnya, perintah reman selama enam hari terhadap Mohd Azhar Che Mat Dali mulai 8 Julai lalu juga menghairankan pihak peguam memandangkan lelaki berusia 49 tahun itu yang membuat laporan berhubung kes rasuah kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
“Saya berhubung dengan peguam Azhar. Peguam itu beritahu kes ini pelik kerana kes rasuah ini Azhar adalah tukang lapor. Tiba-tiba dia pula kena tahan.
“Bila dibawa ke mahkamah bila hakim tanya mengapa hendak direman Azhar maka disebut dia sebagai pegawai kerajaan dia boleh mempengaruhi hasil siasatan.
“Tapi peguam Azhar beritahu dia bukan lagi pegawai kerajaan sejak kerajaan jatuh dan ditukar kepada kerajaan PN.
“Inilah perkara yang timbul pergi ke pejabat AMANAH yang tidak kena-mengena. Nampak seolah-olah ada udang di sebalik batu nak timbulkan persepsi ya BN, PN tenggelam kerana rasuah tetapi PH pun begitu juga.
“Itulah jahatnya perancangan mereka,” kata Khalid dalam slot Bicara YB Khalid Abdul Samad (Siri 64) yang disiar menerusi Jom Channel FB Live.
Terdahulu, Azhar direman enam hari bagi membantu siasatan berhubung kes menerima suapan yang dianggarkan bernilai lebih RM56 juta bagi projek rundingan terus di Kementerian Pertahanan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan