"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Lima kakitangan Kementerian Kewangan terlibat sindiket pemalsuan akaun ditahan

MALAYSIA DATELINE

Lima kakitangan Unit Pendaftaran Syarikat, Kementerian Kewangan antara lapan individu ditahan hari ini selepas aktiviti pemalsuan urusan pendaftaran akaun baharu kementerian itu dibongkar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Hasil risikan SPRM sejak enam bulan lalu turut menahan tiga orang awam yang disyaki bersekongkol dalam aktiviti haram itu sejak tahun 2017.

Sindiket itu dikatakan beroperasi dengan menguruskan permohonan pendaftaran akaun baharu Kementerian Kewangan serta permohonan status Bumiputera syarikat-syarikat di sekitar Lembah Klang.

Dilaporkan, bagi mempercepatkan proses pendaftaran baharu akaun Kementerian Kewangan dan mendapatkan status bumiputera, mereka menawarkan bayaran sindiket antara RM500 hingga RM3,500 bagi setiap permohonan.

“Siasatan awal mendapati, permohonan pendaftaran akaun baharu MOF dan status bumiputera akan diluluskan dalam tempoh 24 jam sahaja dan ia dikesan akan dibuat tanpa mengikut prosedur yang ditetapkan,” lapor BH hari ini.

Kata sumber, sindiket sudah mengaut ratusan ribu ringgit daripada pelbagai syarikat, sejak kegiatan itu berlangsung dari tahun 2017

Dalam operasi khas, SPRM seramai lapan orang ditangkap berusia antara 30 tahun hingga 47 tahun dan mereka ditahan di sekitar Putrajaya dan ibu negara.

“SPRM mengadakan risikan sejak enam bulan lalu dan daripada lapan orang yang ditangkap, lima kakitangan di Unit Pendaftaran Syarikat, Kementerian Kewangan ditahan kerana bersengkokol bersama tiga orang awam yang lain,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya mengesahkan tangkapan itu dan berkata siasatan dijalankan di bawah seksyen 16(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Kelapan-lapan individu yang ditahan akan dihadapkan ke mahkamah majistret Putrajaya esok bagi permohonan reman di bawah seksyen 117 Kanun Acara Jenayah.

Tiada ulasan: