"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Azmin melampau buat tuduhan jahat, PH akan ambil tindakan tegas

SITI NUR ZAWANI MISCON
Pakatan Harapan (PH) akan mengambil tindakan tegas terhadap Datuk Seri Mohamed Azmin Ali susulan kenyataannya yang disifatkan sebagai menghina PH dalam cubaanya meraih sokongan semasa ceramah kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim, semalam.

Azmin yang juga Ahli Parlimen Gombak mendakwa lebih banyak kematian berlaku sekiranya PH terus mentadbir negara sepanjang penularan pandemik Covid-19.

Bekas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menegaskan, kenyataan Menteri Kanan Perikatan Nasional (PN) itu sebagai melampau dan sama sekali tidak bertanggungjawab.

Jelasnya, tiada satu pun kematian direkodkan semasa pentadbiran PH, malah beliau meninggalkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ketika itu dengan 22 kes pulih daripada keseluruhan 24 kes.

“Untuk rekod, tidak ada kematian sehingga kami meninggalkan Putrajaya pada 24 Februari. Ketika itu, 22 kes pulih sepenuhnya dari 24 kes positif. Manakala dua kes lagi masih ditempatkan di dalam wad dan bukan di Unit Rawatan Rapi (ICU).

“Tuduhan mengatakan bahawa andainya PH terus memerintah akan ramai yang mati adalah tuduhan jahat, sangat tidak bertanggungjawab dan satu penghinaan.

“Majlis PH mungkin akan buat tindakan susulan sebaik sahaja kita bermesyuarat kerana tuduhan itu sangat jahat mengaitkan tentang kematian rakyat Malaysia,” katanya dalam sidang media di Bangunan Parlimen hari ini.

Terdahulu, Azmin yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) mendakwa pentadbiran PH sebagai gagal dan akan menyebabkan lebih banyak kematian berlaku sekiranya terus berkuasa kerana Lim Guan Eng sebagai Menteri Kewangan enggan mengeluarkan peruntukan.

Bekas Timbalan Presiden PKR yang dipecat itu juga berkata, peluang telah diberikan selama 22 bulan untuk memerintah kerajaan Persekutuan namun PH tetap gagal.

Tiada ulasan: