"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Selepas dicemoh di Slim, Umno Pas pula tidak akan bagi kerusi kepada Bersatu

BORHAN AHMAD

Selepas ahlinya dicemoh dalam siri kempen pilihan raya kecil Slim, tekanan kepada Bersatu khasnya terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin semakin kuat dari Umno termasuk tidak akan memberikan kerusi yang dituntut Bersatu.

Umno sudah bertegas, mereka tidak akan memberikan kerusi yang telah dimenangi mereka dalam pilihan raya umum lalu termasuk kerusi yang dimenangi calon Umno yang telah melompat ke Bersatu.

Selain itu, pemimpin bawahan Umno juga memberikan tekanan kepada pemimpin atasan mereka, jika 10 kerusi yang dimenangi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan pengikutnya diberi kepada mereka, kerusi itu juga akan jatuh kepada pembangkang.

Bahkan mereka memberikan amaran, kerusi Muhyiddin di Pagoh juga boleh jatuh kepada pembangkang jika Umno menerima Muhyiddin bertanding di kerusi itu.

Penganalisis Politik UTM, Dr Mazlan Ali memberitahu, Bersatu menuntut dari Umno dan Pas untuk bertanding 52 kerusi Parlimen dalam pilihan raya umum akan datang.

Tuntutan ini adalah wajar sesuai dengan kedudukan Bersatu sekarang yang menjadi tunggak kerajaan manakala parti lain hanya bersifat pembantu kepada Bersatu sahaja.

Semalam, media milik Umno, Suara TV melaporkan, Majlis Tertinggi Umno telah memutuskan bahawa BN akan bertanding di kerusi yang mana ahli parlimennya berpaling tadah selepas menang pada PRU14.

“Kerusi-kerusi yang BN menang dulu yang melompat, maka kita ambil balik. Itu keputusan MT, bukan keputusan presiden.

“MT Umno membuat keputusan bahawa, kerusi-kerusi yang dulunya dimenangi BN, maka BN akan ambil balik.

“Perkara ini sudah pasti,” kata Ahli Majlis Tertinggi Umno Zahidi Zainul Abidin pada video di portal berita Suara TV itu, lapor Malaysiakini.

Sebelum ini, Ketua Penerangan BN Selangor, Isham Rais berkata, kerusi Pagoh juga boleh jatuh kepada pembangkang jika Umno dan BN setuju ianya diserahkan kepada Muhyiddin.

Bukan saja itu, beliau penuh yakin kerusi Gombak juga akan jatuh ke tangan pembangkang jika Umno dan BN setuju kerusi itu diberikan kepada Azmin yang kini sudah menyertai Bersatu.

Sebelum ini, Pas dan Umno Gombak bertegas, mereka tidak akan menyerahkan kerusi parlimen itu kepada Azmin.

Ketua Umno Gombak Megat Zulkarnain Omardin berkata 40,000 ahli Umno di kawasan itu masih ingat bagaimana Menteri Kanan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mempersendakan parti itu dengan menyamakannya sebagai binatang ketika masih dalam PKR.

“Dalam politik kita boleh ada idealogi politik dan pandangan berbeza. Namun, kita mesti ada 1 sempadan…bila ada pukul lebih dari sempadan, pukulan diterima di bawah pinggang ini selalunya akan diingati.

“Setakat tampar-tampar mungkin boleh lupakan tetapi kita bercakap atas akar umbi, perlu hormat 40,000 ahli Umno yang sepakat untuk Muafakat Nasional (MN) kerana ia adalah kawasan majoriti Melayu, perkara ini perlu dilihat serius,” katanya

Pas Kawasan Gombak juga telah memutuskan hanya akan bekerjasama secara politik dengan Umno Gombak atas nama Muafakat Nasional (MN).

Yang Dipertua Pas Kawasan Gombak Salahuddin Mohd Nasir menegaskan perkara itu dan telah memaklumkan kepada Adun Gombak Setia Mohd Hilman Idham pada 11 Mei yang lalu.

“Dan saya telah hantar mesej dan Yb Hilman telah menjawab memahami akan perkara ini,” katanya.

Tiada ulasan: