"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

PN dan jadi sarang pelacuran politik, dakwa Mahfuz

SITI NUR ZAWANI MISCON

Naib Presiden AMANAH Nasional, Datuk Mahfuz Omar menyifatkan Perikatan Nasional (PN) sebagai pusat pelacuran politik apabila dengan mudah wakil-wakil rakyat dibeli dan disogok dengan wang ringgit untuk mendapatkan sokongan.

Beliau berkata, percaturan politik di Sabah membuktikan kerajaan yang digelar tebuk atap itu cuba mengembalikan budaya ‘Cash is King’, bagi mengalih sokongan wakil rakyat kepada pemimpin Umno yang mahu dilantik sebagai Ketua Menteri baharu.

Malah, sikap wakil rakyat yang berpaling tadah selepas didakwa menerima tawaran jutaan ringgit, ditempelaknya sebagai perbuatan yang menjijikkan.

“Apa yang berlaku di Sabah sehingga menyebabkan berlakunya pembubaran DUN, beberapa Adun mengaku ditawarkan jutaan ringgit asalkan mereka menyokong Tan Sri Musa Aman untuk membentuk sebuah kerajaan baharu.

“Hal ini adalah satu perbuatan yang sangat jijik dan telah menjadikan politik ini sebagai industri pelacuran untuk memuaskan nafsu politik dan kuasa.

“Ini secara jelas memperlihatkan bagaimana sebahagian Adun yang dahulunya mendukung kepimpinan Datuk Seri Shafie Apdal, akhirnya meninggalkan beliau semata-mata kerana tawaran wang yang begitu besar kepada mereka,” katanya menerusi Facebook rasminya hari ini.

Terdahulu, Musa Aman mengumumkan mempunyai cukup majoriti untuk membentuk kerajaan baru Sabah.

Beliau juga tampil dengan foto bersama 32 lagi Adun yang memberi sokongan kepada beliau sebagai Ketua Menteri Sabah.

Susulan itu, Ketua Menteri Sabah, Shafie mengumumkan pembubaran Dun dan memberi laluan kepada pilihan raya negeri untuk diadakan.

Shafie berkata, beliau telah menemui TYT (Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri) di Istana Negeri dan dipersetujui Tun Juhar Mahiruddin untuk pembubaran itu.

Tiada ulasan: