Malaysiakini
Parti Hijau, sebuah badan politik baharu yang memberi tumpuan kepada isu alam sekitar, menjadi yang terbaru cuba memikat pemimpin Umno yang dipecat Khairy Jamaluddin.
Dalam satu kenyataan, setiausahanya Abdul Razak Ismail mempelawa bekas ketua Pemuda Umno itu supaya menyertai Parti Hijau, dengan berkata sudah tiba masanya untuk Khairy meluaskan dimensi politiknya dengan memperjuangkan alam sekitar dan menyelamatkan hutan di negara ini.
Abdul Razak turut mengalu-alukan hasrat Khairy untuk bertanding pada pilihan raya negeri Selangor akan datang dan mencadangkannya untuk bertanding di kerusi DUN Kota Damansara.
Dia berkata Khairy mempunyai peluang yang baik untuk menang di Kota Damansara, yang adalah kerusi DUN di bawah kawasan parlimen Sungai Buloh yang ditandingi oleh Khairy pada pilihan raya umum ke-15 tahun lalu tetapi tewas kepada R Ramanan dari PKR.
“Sejak 10-15 tahun kebelakangan ini rakyat sudah mula membuka mata keatas isu-isu alam sekitar lantaran berlakunya ‘Himpunan Hijau’ membantah pembukaan kilang Lynas di Gebeng, Pahang dan beberapa siri ‘blockade’ rantaian NGO dan masyarakat Orang Asli dalam isu bantahan pembalakan di sesebuah lokaliti hutan setempat.
“Parti Hijau mengalu-alu Khairy bertanding di Selangor dan kami mencadangkan beliau bertanding di DUN Kota Damansara kerana sebelum ini dia pernah turun berkempen semasa PRU 15 di Parlimen Sg Buloh dan masyarakat setempat telah membangkitkan isu sebahagian hutan simpan / rekreasi Kota Damansara telah cuba ‘dibangunkan’ oleh sebuah GLC kerajaan negeri untuk projek pembangunan perumahan dan kondomium.
“Bagus juga idea KJ ingin bertanding di Selangor yang sarat dengan isi ‘pembantaian dan pengondolan’ hutan simpan seperti Hutan Simpan Kuala Langat Utara dan Selatan, Hutan simpan Bukit Cherakah dan hutan simpan Bukit Lagong dan beberapa lagi hutan simpan kekal dalam ‘keadaan bahaya’ di Selangor untuk dibangunkan oleh Kerajaan Negeri Selangor,” katanya lagi.
Menurut Abdul Razak, rekod Jabatan Perhutanan Selangor menunjukkan terdapat 76 lokasi lain di negeri itu yang mempunyai hutan simpan dengan keluasan tanah seluas 250,000 hektar.
Ini, katanya, memerlukan satu badan bertindak sebagai ombudsman untuk memantau aktiviti kerajaan negeri apabila melibatkan hutan simpan, dan Parti Hijau bersedia memainkan peranan itu.
Pencinta alam sekitar itu juga mendakwa ramai wakil rakyat Pakatan Harapan di sidang DUN sekarang umpama ‘tikus’ untuk bangkit isu-isu pengondolan hutan-hutan simpan di negeri Selangor.
“Parti Hijau berpandangan Khairy akan diterima baik oleh pengundi di Dun Kota Damansara kerana PRU 15 yang lepas, beliau tewas dengan majoriti tipis 2,693 undi dan kami berpandangan dia mempunyai ramai penyokong yang akan menyokong beliau dan ‘boleh menang’ sekiranya beliau fokus dan aktif dalam isu penjagaan alam sekitar ini,” kata Abdul Razak.
Tambahnya, Khairy masih boleh memperjuangkan isu-isu lain, seperti ekonomi, kebajikan golongan B40, dan miskin bandar di negeri ini.
Jumaat lalu, majlis tertinggi Umno memutuskan untuk memecat Khairy kerana didakwa mensabotaj Umno semasa PRU15.
Sejak dipecat, beberapa parti politik menyatakan kesediaan untuk menerima bekas menteri kesihatan itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan