"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Detik terpilu dilempar RM5 lepas hantar makanan

Redzuan Muharam
redzuan.muharam@hmetro.com.my
MOHD Yuswandi Mohd Rosli menghantar pesanan kepada pelanggan. FOTO Ihsan Mohd Yuswandi Mohd Rosli
MOHD Yuswandi Mohd Rosli menghantar pesanan kepada pelanggan. FOTO Ihsan Mohd Yuswandi Mohd Rosli
Georgetown: "Betapa hinanya …ku di matamu…," Itu luahan penghantar p-hailing, Mohd Yuswandi Mohd Rosli dikongsikan di Facebook (Fb) baru-baru ini .

Menerusi hantarannya itu, Mohd Yuswandi, 35, berkongsi pengalamannya berurusan dengan seorang pelanggan yang melempar wang RM5 ke tiang ketika membuat pembayaran seolah jijik dan cuba memperkecilkannya.

Hantarannya itu tular di laman sosial dan mendapat pelbagai reaksi daripada netizen yang rata-ratanya bersimpati terhadap Mohd Yuswandi serta berang dengan sikap biadap pelanggan berkenaan.

Berkongsi kisah itu , Mohd Yuswandi yang juga bapa tiga anak berkata, kejadian berlaku ketika dia menghantar makanan kepada seorang pelanggan baru-baru ini.

"Waktu itu malam dan hujan lebat namun saya redah juga untuk hantar makanan dipesan pelanggan berkenaan.

"Tiba di rumahnya, badan saya sudah basah lencun walaupun pakai baju hujan dan mungkin sebab geli, pelanggan itu ambil makanan daripada tangan saya kemudian terus lempar duit RM5 ke tiang.

"Apa yang buat saya terkilan adalah caranya itu dan nampak dia macam sengaja buat begitu atau sudah biasa kerana tiada minta maaf pun," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Mohd Yuswandi mengakui berasa sedih diperlakukan begitu oleh pelanggan berkenaan.

"Sayu hati saya waktu itu kerana seolah dia (pelanggan) pandang hina sangat pekerjaan saya

"Jika ikut rasa marah, saya biarkan saja ia terbang ditiup angin tapi kutip juga mengenangkan itu rezeki buat anak dan isteri di rumah.

"Niat kongsi di Fb adalah nak kongsi pengalaman kerana saya memang suka bercerita di situ (Fb). Tak harap tular pun tapi memandai jika yang membaca ambil pengajaran dan buka mata daripada apa cuba saya sampaikan," katanya.

Menurut Mohd Yuswandi, dia ada pekerjaan tetap di pejabat namun bekerja sambilan sebagai penghantar p-hailing sejak Mac lalu bagi menambah pendapatan dan menimba pengalaman.

"Selain cari duit poket, saya cuba kerja dalam bidang itu (p-hailing) kerana nak fahami dan tahu kenapa orang sanggup redah panas juga hujan untuk kerja sebagai penghantar p-hailing.

"Dalam media massa juga ada dipaparkan ramai anak muda tertarik bekerja dalam bidang itu selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berbanding sambung pengajian di universiti.

"Pada masa sama, ada juga rungutan daripada penghantar sudah berkeluarga mengenai soal gaji yang tak cukup.

"Kini, saya faham keperitan mereka malah lalui pengalaman dipandang sinis bukan hanya oleh segelintir pelanggan tetapi dalam kalangan rakan ketika mula jadi penghantar p-hailing dulu," katanya.

Bagaimanapun, Mohd Yuswandi mengakui masih ramai lagi pelanggan yang baik dan tahu menghormatinya.

"Bagi saya, ia berbalik kepada individu bukan soal jantina, umur atau bangsa.

"Walaupun tak kerja sepenuh masa, saya seronok kerana pekerjaan sebagai penghantar p-hailing beri peluang kenal ramai orang dan mungkin batu loncatan ceburi bidang lain pula satu hari nanti," katanya.

Tiada ulasan: