"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Polis siasat gambar tular batu tertera ayat al-Quran dijadikan pelapik anjing

BERNAMA

Kepala Batas: Polis menjalankan siasatan lanjut berhubung tiga keping gambar tular di Facebook yang memaparkan dua batu tertera ayat al-Quran dijadikan pelapik tempat anjing tidur.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) Asisten Komisioner Mohd Asri Shafie berkata gambar tersebut dikesan ditularkan semalam dan berdasarkan siasatan awal kejadian itu berlaku di sebuah kedai barang perkakasan di kawasan Teluk Air Tawar, di sini.

"Polis turut menerima satu laporan polis daripada seorang lelaki hari ini berhubung hantaran di aplikasi media sosial TikTok milik akaun isterinya berkaitan gambar sama.

"Menerusi hantaran itu, seorang pengguna pemilik akaun TikTok telah meninggalkan komen iaitu 'rider PBA tanya owner kedai kata jangan sibuk' pada gambar berkenaan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata lelaki yang membuat laporan polis itu tidak mengenali pemilik akaun TikTok yang meninggalkan komen tersebut dan tujuan dia membuat laporan polis kerana terkilan dengan pemilik kedai perkakasan berkenaan yang tidak menghormati agama Islam.

Mohd Asri berkata pihaknya telah menghubungi pengendali laman Facebook Kementerian Nitizen Malaysia bagi memadam hantaran yang tular itu, selain turut menghubungi pemilik kedai perkakasan dan pemilik akaun TikTok untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan.

Katanya lawatan pihak polis ke lokasi kejadian mendapati dua batu tertera tulisan ayat al-Quran itu telah tiada di tempat yang ditularkan.

"Pihak polis sedang menjalankan siasatan lanjut di bawah Seksyen 298 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1997," katanya.

Menurutnya orang ramai dinasihatkan agar memadam dan tidak menularkan gambar tersebut bagi menjaga sensitiviti agama Islam dan mengelak berlakunya kejadian tidak diingini.

Tiada ulasan: