"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Isu Sanusi: Berdiam diri bukan lagi pilihan buat PAS, kata Saifuddin

B Nantha Kumar

Berdasarkan perkembangan terkini, kata Saifuddin Nasution Ismail, oran ramai boleh memahami bahawa isu dakwaan Muhammad Sanusi Md Nor terhadap Sultan Selangor adalah sangat serius.

Justeru kata Setiausaha Agung PKR itu parti PN khususnya PAS tidak ada pilihan kecuali menyatakan pendirian mereka berhubung tindakan Sanusi di Selayang baru-baru ini.

"Majlis Syura (Ulama) PAS dan Jawatankuasa PAS Pusat wajib segera membuat keputusan berhubung keceluparan dan kebiadaban Sanusi terhadap Sultan Selangor.

"Berdiam diri bukan lagi satu pilihan atau parti itu dilihat bersetuju dengan penghinaan Sanusi terhadap institusi raja-raja Melayu," katanya kepada Malaysiakini hari ini.

Petang tadi, selain lebih 30 laporan polis dibuat pelbagai kumpulan atau orang perseorangan termasuk parti politik, Dewan Diraja Selangor turut merujuk Sanusi kepada pihak berkuasa.

Ia berkaitan ucapan Sanusi dalam ceramah politiknya pada 11 Julai lalu yang membandingkan pelantikan menteri besar di Kedah dan Selangor.

Antara lain menteri besar sementara Kedah itu berkata: “Hebatnya Sultan Kedah ni, bukan koman-koman, sultan tara tu hampa bayang, tengok menteri besar (merujuk kepada Sanusi), sultan hebat macam tu takkan pilih menteri besar cokia (lekeh) macam Amir(Amirudin Shari).

Kata Saifuddin desakan dan laporan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang dibuat Dewan Diraja Selangor itu jelas mencerminkan seriusnya perbuatan Sanusi di mata pihak istana.

Dalam perkembangan berkaitan, Saifuddin yang juga menteri dalam negeri berkata PDRM polis akan mengambil tindakan sewajarnya terhadap Sanusi selaras dengan undang-undang negara.

"Episod ini patut menjadi pengajaran kepada semua bahawa perbezaan politik tetap ada batasnya.

"Ia tidaklah boleh sehingga menghina sesama sendiri apatah lagi institusi raja-raja Melayu yang sangat dihormati kedudukan dan peranannya dalam negara kita," katanya.

Untuk rekod Mursyidul Am PAS Hashim Jasin dilaporkan media sudah memberi teguran kepada Sanusi.

Tiada ulasan: