"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

TI-M: Pendedahan Saifuddin berkait Sanusi boleh jejas siasatan SPRM

Natasha Busst

PETALING JAYA: Sebuah badan pemerhati rasuah berkata, keghairahan Setiausaha Agung Pakatan Harapan (PH), Saifuddin Nasution Ismail mendedahkan dakwaan pembabitan Sanusi Nor dalam perlombongan unsur nadir bumi (REE) boleh menjejaskan siasatan rasuah terhadap menteri besar Kedah itu.

Presiden Transparency International Malaysia (TI-M), Muhammad Mohan berkata, Saifuddin boleh menjejaskan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan meneliti kes itu.

“Sebaik-baiknya serahkan kepada SPRM dan beliau tidak mengulas lanjut,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata, Saifuddin yang juga menteri dalam negeri mungkin menggunakan isu itu dalam usaha mempengaruhi pengundi PRN.

“Serahkan kepada SPRM untuk meneruskan kes itu. Banyak lagi isu lain boleh dibincangkan.”

Pada 21 Julai lalu, Sanusi mengumumkan beliau sudah menghantar notis undang-undang menuntut Saifuddin memohon maaf atas dakwaan berunsur fitnah berhubung pembabitan menteri besar Kedah itu dalam perlombongan REE di negeri itu.

Tetapi, Saifuddin kelihatan tidak berputus asa dan berjanji akan mendedahkan lebih banyak maklumat berkaitan kes itu. Menteri itu berkata, beliau sedia berdepan pemimpin PAS itu di mahkamah.

Pada 1 Ogos lalu, Saifuddin mendedahkan gambar Sanusi bersama seorang lelaki dikenali sebagai “So Loi Fat”, seorang daripada dua warga China dikatakan mempunyai kaitan dengan skandal itu.

Menteri itu mendakwa mereka dibawa masuk Menteri Besar Kedah (MBI Kedah) untuk melombong REE.

Ahad lalu, Saifuddin meminta Sanusi menjelaskan kenapa kerajaan negeri mengeluarkan surat kelulusan kepada syarikat yang dikompaun pada Januari lalu kerana mencuri REE.

Sementara itu, Pengerusi Bersih, Thomas Fann turut menggesa Saifuddin menjauhi kes itu.

“SPRM patut tunggu sehingga hari pengundian selesai untuk memulakan siasatannya supaya ia tidak dilihat sebagai cubaan mempengaruhi keputusan pilihan raya.”

Beliau berkata, Bersih tidak bersetuju dengan Saifuddin menggunakan maklumat eksklusif kerajaan sebagai “peluru” kempen dan menteri itu mungkin berpotensi menyalahgunakan kedudukannya bagi tujuan kegiatan berkempen.

“Jika Sanusi terlibat, SPRM patut dimaklumkan dan siasatan perlu dijalankan mengikut prosedur betul.”

Tiada ulasan: