"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Lelaki ditemui mati dalam teksi

Bernama

KUALA NERUS: Seorang lelaki warga tempatan ditemukan maut di dalam sebuah teksi dipercayai miliknya berhampiran Klinik Kesihatan Seberang Takir di sini, malam tadi.

Mangsa berusia 51 tahun itu ditemukan di bahagian tempat duduk penumpang belakang teksi berkenaan dengan beberapa kesan kecederaan pada badan.

Ketua Polis Kuala Terengganu Abdul Rahim Md Din berkata polis menerima panggilan berhubung penemuan mangsa pada pukul 10.56 malam.

“Sebaik terima laporan, polis mengerah sepasukan pegawai dan anggota ke lokasi berkenaan bagi menjalankan siasatan.

“Siasatan mendapati terdapat beberapa kesan kecederaan pada mangsa dan dia disahkan meninggal dunia oleh pegawai kesihatan di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi.

Rahim berkata hasil siasatan turut menemukan sebilah pisau di atas pelapik kaki bahagian pemandu teksi berkenaan.

Susulan itu, katanya pihaknya telah menahan seorang lelaki berusia 29 tahun untuk membantu siasatan kes mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk tindakan lanjut dan siasatan lanjut sedang berjalan bagi mengenal pasti motif kejadian,” katanya.

Tiada ulasan: