FMT Reporters
PETALING JAYA: Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli berkata tahap sokongan kepada Umno di Kelantan telah mencapai 46% setakat ini, manakala Pakatan Harapan (PH) menyaksikan peningkatan sokongan kepada 35%.
“Ini bermaksud dalam tempoh enam bulan, sokongan Melayu di Kelantan kepada PH telah meningkat tiga kali ganda dan sudah hampir sama dengan sokongan Melayu di Kedah sedangkan selama ini, PH bertanding di Kelantan hilang deposit.
“Jadi sama ada ia mencukupi untuk lepasi 50%, saya rasa ada kerusi yang BN bertanding akan lepasi 50%. Ada juga satu kerusi yang saya ingat PH ada harapan untuk menang dan ada kerusi yang sebelum ini kubu kuat PAS, kalau kita kalahpun kita kalah dalam margin 10% sahaja,” katanya menurut Bernama ketika ditemui di Sungai Petani.
Rafizi berkata, berdasarkan momentum kempen dan dapatan kaji selidik yang dibuat setiap minggu, PH berada di depan serta bakal menang selesa di Pulau Pinang, Selangor, dan Negeri Sembilan.
Beliau berkata, justeru dakwaan Perikatan Nasional kononnya kerajaan perpaduan tidak mendapat sokongan Melayu adalah tidak benar sama sekali.
BN bertanding di 31 Dewan Undangan Negeri Kelantan, manakala PH menerusi PKR dan Amanah pula masing-masing bertanding tujuh kerusi.
Pada 2 Ogos, Setiausaha BN Kelantan Md Alwi Che Ahmad, berkata partinya yakin setakat ini mampu menang di 16 kerusi.
Memetik Berita Harian, beliau berharap PH mampu menang minimum tujuh kerusi bagi membentuk majoriti mudah, 23 kerusi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan