Malaysiakini
Pengarah Komunikasi Amanah Khalid Samad berkata dia menyerahkan kepada kepimpinan parti berhubung calon bagi pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram di Johor.
Khalid berkata demikian apabila ditanya berkenaan perkara itu, selepas namanya disebut akan dicalonkan dalam PRK itu nanti.
“Saya tak fikirkan, sekarang kita tumpu pada PRN.
“Untuk calon PRK Parlimen Pulai kita serah pada pimpinan Amanah untuk menentukannya.
“Saya tak fikir pun, pimpinan nasional pun belum bincang secara rasmi. Saya pun tak tahu siapa yang sebut nama saya,” katanya pada sidang media harian calon-calon Amanah bagi PRN Kelantan di Kota Bharu, hari ini.
Untuk rekod Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh penamaan calon bagi PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram pada 26 Ogos, manakala pengundian awal 5 September dan hari pengundian pula pada 9 September.
PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya bekas timbalan presiden Amanah Salahuddin Ayub pada 23 Julai lalu yang juga menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.
Terdahulu media melaporkan Amanah Johor tidak menolak kemungkinan bahawa Khalid yang juga pengerusi Amanah Kelantan akan dicalonkan.
Pengerusinya, Aminolhuda Hassan berkata ia tertakluk kepada kepimpinan pusat tetapi pada masa sama menyatakan harapan calon yang diletakkan adalah orang tempatan yang memiliki sokongan di peringkat akar umbi.
Khalid pernah menjadi ahli parlimen Shah Alam selama tiga penggal. Pada PRU15, dia dicalonkan di kerusi Parlimen Titiwangsa namun tewas di tangan Naib Presiden Umno Johari Ghani.
Ketika dihubungi hari ini, Aminolhuda berkata nama-nama yang dicalonkan Amanah Pulai, serta Amanah Bakri untuk calon DUN Simpang Jeram, akan dinilai oleh kepimpinan negeri sebelum dimuktamadkan di peringkat pusat.
"Negeri akan semak berdasarkan kesesuaian, ada beberapa kriteria dipertimbangkan.
"Jika kita rasa (senarai diberikan) tak berapa mantap, kita akan letakkan (nama) tambahan untuk memastikan calon betul-betul 'winnable'," katanya lagi.
Pada masa sama, dia sekali menegaskan keputusan muktamad terletak di tangan kepimpinan pusat dan Amanah Johor akan menerima mana-mana calon yang diputuskan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan