"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Hilang selera mengundi?

BERNAMA

Georgetown: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) selalunya menyasarkan 70 peratus akan keluar mengundi bagi menentukan pembentukan kerajaan namun selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) 2018, trend yang ada menunjukkan penurunan.

Penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia (USM) Datuk Prof Dr P Sivamurugan berpendapat, Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri kali ini menunjukan trend sama kerana pengundi menganggapnya tidak penting susulan kerajaan sudah dibentuk di peringkat Persekutuan.

Beliau berkata, di Pulau Pinang, trend peratusan keluar mengundi dijangkakan menurun susulan kempen parti politik selama hampir dua minggu, kelihatan suram dan tidak mendapat sambutan seperti PRU-15.

"Kempen (parti politik) lebih tertumpu dalam talian menggunakan media sosial, ceramah dilihat hambar dan perayu undi bergiat aktif pada saat terakhir untuk melakukan pecutan dalam kalangan pengundi," katanya.

Sivamurugan berkata, beliau percaya ada dalam kalangan pengundi luar yang merasakan tidak perlu balik dan ada pengundi melakukan bantahan undi, untuk menunjukkan ketidakpuasan hati mereka terhadap arena politik tanah air.

Trend ditonjolkan ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada 67 peratus, PRN Melaka (65 peratus), PRN Sarawak (61 peratus) dan PRN Johor pada 55 peratus turut dikaitkan dengan penularan wabak Covid-19 yang bermula pada Mac 2020.

Penurunan peratusan keluar mengundi juga dilihat ketika PRU-15, iaitu 73 peratus berbanding PRU-14 pada 2018 dengan 83 peratus.

Bagaimanapun Pengerusi Pakatan Harapan Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata, beliau optimis, peratusan keluar mengundi PRN kali ini mencapai lebih 70 peratus kerana dalam setiap siri kempen dan ceramah gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN), calon sentiasa mengingatkan dan menyeru agar turun mengundi Sabtu ini.

"Kami dalam setiap lawatan, ceramah dan kenyataan, memang tegaskan serta seru pengundi turun beramai-ramai untuk memilih kerajaan dan calon," katanya.

Chow berkata, setiap calon dalam gabungan itu mempunyai kaedah tersendiri ketika berkempen termasuk melibatkan pemimpin parti dalam Kerajaan Perpaduan semasa, turun padang bertemu pengundi.

Pendapat sama dilontarkan Pengerusi Perikatan Nasional Pulau Pinang Datuk Dr Dominic Lau, apabila calon Perikatan Nasional (PN) menggunakan kaedah seperti bertemu pengundi bagi mengenali calon, turut menyeru untuk keluar mengundi dan mengetahui hak mereka sebagai rakyat.

"Oleh itu, saya nampak calon PN selain tinjauan mesra, turun padang, kami guna media sosial seperti TikTok dan Facebook untuk salurkan mesej kepada pengundi dan saya seru semua pemilih keluar mengundi," katanya.

Sokongan anak muda tak konsisten

Kuala Lumpur: Mandat terhormat ke arah pemilihan kerajaan di enam negeri 'panas' akan ditentukan hari ini melalui pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN).

Wujud pelbagai ramalan antaranya kelesuan terhadap pengundi, penurunan peratusan keluar mengundi selain peningkatan penyertaan jumlah pengundi muda (U18).

Ia berikutan golongan pengundi muda dilihat semakin matang selepas kali pertama mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) tahun lalu.

Ramai pemerhati politik bagaimanapun berpandangan sokongan pengundi dalam kalangan anak muda tidak benar-benar konsisten dan mudah dipengaruhi media sosial.

Pandangan itu dilontarkan penganalisis keselamatan dan politik daripada Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dr Noor Nirwandy Mat Noordin yang menjangkakan peratusan keluar mengundi hari ini hanyalah sekitar 65 ke 70 peratus berbanding 74 peratus ketika PRU 15 lalu.

Menurutnya, kemerosotan ini berpunca hilang keterujaan pengundi akibat jarak masa PRU-15 dan PRN yang tidak begitu jauh.

"Malah, wujud pengundi yang pasif dengan politik akibat ada pemimpin atau calon berkempen menggunakan pendekatan agak keras, isu dibawa melebihi had, adanya elemen keganasan dan radikal dalam kempen PRN.

"Apatah lagi pada kempen PRN kali ini, ianya tidak banyak bincangkan isu sosio setempat. Mereka (pemimpin politik) lebih banyak bincang isu kepartian dan sentimen terhadap individu berkaitan.

"Isu hangat keluar dan dibahaskan secara panas di platform media sosial dan pentas ceramah lebih dilihat berbentuk serangan peribadi atau terhadap parti lawan," katanya

Menurutnya, semua keadaan ini tidak memberi elemen keterujaan seperti apa yang berlaku pada PRU- 15.

"Faktor kedua jangkaan kemerosotan pengundi adalah jurang perbezaan masa antara PRU-15 dan PRN kali ini. Ia memberi tempoh bertenang untuk masyarakat menilai dan melihat kestabilan serta keselamatan politik berada dalam keadaan baik ketika ini.

"Ia secara langsung memberi kelebihan kepada kerajaan perpaduan Pakatan Harapan (PH) dalam konteks berkaitan," katanya.

Menyentuh jumlah pengundi muda, Noor Nirwandy menyifatkan golongan itu akan menjadi dominan, lebih bijak dan matang dalam menilai apakah maksud politik itu sebenar.

"Mereka akan lihat kempen politik dilakukan sebelum ini perlu lebih berkualiti dalam membincangkan isu kepentingan masyarakat setempat dan rakyat.

"Golongan muda akan hilang sedikit keterujaan. Melalui pandangan mereka...politik perlu dilihat lebih baik, matang dan memberi pengalaman mencukupi, sekali gus membolehkan mereka membuat keputusan wajar.

"Bagaimanapun jika pengundi muda menjadi dominan dan keluar mengundi dalam pola besar hari ini, pola itu berubah daripada 'keterujaan' kepada kematangan politik dan transisi memahami demokrasi matang dalam negara," katanya.

Beliau meramalkan, faktor keutamaan pengundi dalam membuat pilihan mutlak adalah calon diketengahkan, selain parti gergasi yang mempunyai sokongan kuat akar umbi seperti Pas, Umno, Perikatan Nasional (PN), PKR dan DAP.

"Aspirasi rakyat pastinya terarah kepada kematangan, kestabilan politik dan perubahan sosio ekonomi negara. Ini akan menentukan calon serta parti mana bakal dipilih ketika mengundi.

"Melihat kepada semua 'ramuan' ini, gabungan parti memerintah negara khususnya parti dalam Kerajaan Perpaduan mempunyai sedikit kelebihan dalam konteks ini," katanya.

Berdasarkan Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) yang dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) jumlah keseluruhan pengundi muda di enam negeri bertanding PRN adalah seramai 661,905 orang.

Selangor mencatat bilangan pengundi muda berumur 18 hingga 20 paling ramai iaitu 274,194 berbanding negeri lain.

Kedua tertinggi ialah di Kedah iaitu seramai 104,284 pengundi muda, Kelantan (96,513), Pulau Pinang (67,633), Terengganu (64,264), manakala Negeri Sembilan (55,017).

Keterujaan tak setara PRU

Kuala Lumpur: Siti (bukan nama sebenar), mengundi buat pertama kali tahun lepas pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) yang turut merekod jumlah keluar mengundi paling ramai bagi kumpulan usianya.

Terikut-ikut dengan keterujaan masyarakat pada pilihan raya itu yang menyaksikan rakyat berusia 18 tahun serta mereka yang layak namun tidak mendaftar sebelum ini keluar mengundi buat pertama kali, dia menyertai keluarga angkatnya menunaikan tanggungjawab tersebut.

Siti, 25, yang merupakan rakyat Selangor tidak merasai keterujaan itu pada pilihan raya negeri (PRN) kali ini serta tidak pasti sama ada akan pergi mengundi ataupun tidak.

"Tengoklah kalau ada masa," kongsinya dengan Bernama, menambah pekerjaannya di sebuah restoran biasanya membuatkan dia berasa amat penat pada keesokan pagi.

Di negara demokrasi lain, pengundi muda tidak dianggap pengundi yang boleh diharap namun jumlah rakyat Malaysia berusia 18 hingga 30 tahun yang keluar mengundi pada PRU-15 begitu mengejutkan pada 75.6 peratus, menurut analisis pemerhati politik Bridget Welsh. Angka itu hampir menyamai jumlah keluar mengundi kumpulan usia 41 hingga 50 tahun.

Pada PRU-15, undi orang muda menjadi tumpuan, baik pada program politik ataupun platform media sosial, khususnya TikTok sementara media dan penganalisis menggelar mereka 'dalang politik' yang dapat menentukan kemenangan mana-mana pihak.

Namun pada PRN untuk memilih kerajaan negeri Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan esok, suasana hambar. Ditambah pula PRN secara tradisi mencatatkan kadar keluar mengundi rendah - biasanya kurang 10 hingga 20 mata peratusan - membuatkan pakar berpendapat jumlah pemilih muda keluar mengundi lebih rendah berbanding jangkaan.

Pakar dihubungi Bernama setuju jumlah pengundi muda lebih rendah berbanding PRU-15 namun mereka tidak pasti serendah mana. Ada berpendapat angka lebih kurang sama dengan jumlah pengundi berusia bawah 30 tahun yang memilih pada PRN Johor, iaitu 52 peratus. Yang lain pula menjangka kadar jauh lebih rendah.

Data yang ada juga menyokong unjuran itu. Pengarah Tindak Malaysia Danesh Prakash Chacko berkata, statistik pilihan raya terdahulu menunjukkan kawasan mempunyai sejumlah besar pengundi muda sentiasa merekodkan angka keluar mengundi lebih rendah berbanding kawasan yang tidak ramai pengundi belia.

"Orang dewasa lebih teruja mengundi," katanya.

Ada petunjuk lain membayangkan jumlah keluar mengundi esok rendah. Pakar menuding ke arah kehambaran suasana PRN kali ini, baik di alam nyata ataupun dunia siber, berbanding PRU-15.

"Saya rasa yang mendorong belia keluar mengundi pada ketika itu ialah suasana mengujakan…keseluruhan pengalaman semasa PRU-15 begitu menyeronokkan, iaitu pengalaman baharu, dan suasana akan menarik jika keadaan berulang (jumlah mengundi ramai)," kata Jason Wee daripada kumpulan belia Architects of Diversity.

Faktor sama tidak lagi boleh diguna dan aspek lain seperti percanggahan jadual, tanggungjawab terhadap kerja, hari mengundi bukan hari cuti umum serta masalah pulang mengundi pula menjadi isu.

Sehubungan itu, Wee menjangka jumlah pengundi kemungkinan besar meningkat sedikit saja berbanding PRN Johor pada 2022.

Beliau memberitahu Bernama sukarelawan yang memantau media sosial berkaitan PRN mendapati aktiviti atau hantaran tentang pilihan raya kali ini tidak sebanyak PRU-15.

"Di TikTok, satu-satunya isu menyerlah ialah sokongan besar terhadap (Menteri Besar Kedah) Sanusi (Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor). Konsep 'kesyahidan' dimainkan (berhubung penahanannya) menarik perhatian golongan muda di TikTok," katanya.

Penganalisis politik Wong Chin Huat meramalkan jumlah keluar mengundi rendah terutama dalam kalangan belia. Menurut beliau, angkanya mungkin lebih kurang sama dengan jumlah yang keluar mengundi pada PRN Johor tahun lepas.

Sepertimana Wee, Wong berkata, setakat ini beliau tidak melihat tahap keterujaan yang setara dengan sebelum ini.

"Ini dapat dilihat dari segi kehadiran di ceramah, selain ramai pengundi tidak membuat persediaan untuk keluar mengundi dan macam-macam lagi," katanya.

Pakar geostrategi Azmi Hassan meramalkan jumlah keluar mengundi rendah bagi setiap kumpulan usia. Walaupun bersetuju jumlah undi muda merosot, beliau berkata, jumlah keluar mengundi keseluruhan hanya turun sedikit.

Ada banyak faktor rumit menyukarkan pemerhati membuat ramalan. Selain itu, kumpulan Undi18 pula baru melalui satu PRU dan PRN masing-masing, sekali gus sukar menelah trend.

Pada PRN Johor tahun lepas, orang muda memilih Barisan Nasional (BN) namun pada PRU-15, pengundi muda terutama Melayu, memberi sokongan kepada kerjasama Perikatan Nasional (PN)-PAS. Tinjauan Merdeka Centre berkenaan kecenderungan pengundi menjelang PRU-15 menunjukkan 37 peratus orang muda memilih PN, diikuti Pakatan Harapan (PH) 35 peratus dan 23 peratus menyokong BN.

Namun pakar memberitahu Bernama, sama ada jumlah pengundi muda keluar mengundi tinggi ataupun tidak, ini tidak bermakna keputusan sudah termaktub. Sekalipun sesetengah pemerhati seperti Danesh, percaya kebanyakan undi belia memihak PN, Wee dan Azmi yakin undi golongan muda tidak dapat dipastikan.

"Kajian terkemudian menunjukkan pengundi muda amnya masih atas pagar dan boleh berubah," kata Wee.

Azmi yang juga felow kanan di Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara berkata, belia masih memikirkan apa yang penting untuk mereka dan parti atau calon mana yang terbaik bagi mewakili mereka.

"Ada kemungkinan (disebabkan oleh) PN sebuah pakatan baharu (berbanding BN dan PH). Saya rasa mereka mahu mencuba sesuatu yang baharu jadi mereka sokong PN-PAS," katanya.

Suasana sekarang adalah sesuatu yang belum pernah dilalu pengundi lain yang terpaksa berpuas hati dengan kerjasama bekas musuh ketat PH-BN menentang bekas sekutu PN-Pas.

Pensyarah kanan daripada Universiti Sains Malaysia (USM) Dr Zaireeni Azmi berkata, bukan Melayu yang lazimnya pengundi PH, mungkin berasa kecewa dengan kerjasama PH dan BN. Beliau berkata, ada kemungkinan mereka memutuskan untuk 'menghukum' kerajaan perpaduan dengan tidak keluar mengundi atau membuat undi rosak.

Kuala Lumpur: Bekerja di luar negara bukan alasan atau halangan buat warganegara Malaysia untuk pulang menjalankan kewajipan mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Terengganu serta Kelantan, hari ini.

L Deveeshwaran, 24, yang bertugas sebagai anggota polis bantuan di Singapura berkata, rasa cinta yang mendalam dan kesetiaan kepada negara mendorongnya untuk pulang mengundi di Dewan Undangan Negeri (Dun) Bagan Jermal, Pulau Pinang.

"Kecintaan terhadap negara membuatkan saya pulang dari Singapura dan ia adalah tanggungjawab saya sebagai warganegara," katanya ketika dihubungi Bernama.

Pekerja sebuah syarikat swasta di Qatar Mohd Saidun Mohd Fuzi, 29, berkata kepulangannya pada 7 Ogos lepas adalah sebagai bukti semangat dan rasa tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia yang mahu memilih pemimpin di kawasan Dun Kupang, Kedah.

"Sememangnya tiket mahal iaitu antara RM4,000 hingga RM5,000 bagi perjalanan ulang-alik, tetapi apabila memikirkan tanggungjawab sebagai rakyat yang wajib mengundi saya tetap pulang. Semasa PRN ini saya dapat berjumpa ahli keluarga lain yang sama-sama pulang menunaikan kewajipan.

"Suasana sewaktu pilihan raya memang meriah dengan beratur panjang serta berpeluang berjumpa rakan-rakan di pusat mengundi berbanding mengundi secara pos," katanya yang memilih pulang ke Malaysia pada PRN kali ini.

Dalam pada itu, Mohd Saidun turut memahami sekiranya ada rakyat Malaysia yang tidak pulang kerana kos penerbangan yang mahal.

Sementara itu, seorang juruteknik Shik Hairul Nizam Shik Nor berkata, beliau tetap bersemangat untuk pulang mengundi walaupun baru enam bulan bekerja di sebuah syarikat air di Singapura.

"Syarikat saya bekerja memberi kelonggaran untuk pulang mengundi. Saya akan pulang mengundi di Dun Temiang Negeri Sembilan manakala isteri bekerja di Malaysia sebagai seorang penjawat awam," katanya.

Menjurus rasuah

Kuala Lumpur: Aktiviti kempen yang menjurus kepada rasuah seperti mengadakan jamuan makan dan pemberian sumbangan masih diamalkan dalam kalangan parti politik yang bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri.

Ia dilihat terus menjadi trend popular sepanjang kempen PRN berlangsung yang akan berakhir tengah malam ini, walaupun tindakan sedemikian jelas menyalahi Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berkata, berdasarkan penelitian pemerhati MCW di seluruh negara, salah laku berkenaan dilakukan kedua-dua pihak iaitu calon pembangkang dan di pihak kerajaan.

"Ada calon (parti politik) yang baru tercalon dan kurang terdedah kepada perjalanan pilihan raya melakukan kesalahan yang tidak sepatutnya dibuat. Contohnya dalam kempen poster mereka, dipaparkan ada majlis makan tengah hari atau makan malam bersama masyarakat setempat.

"Walaupun mereka cuba menutup salah laku itu dengan menyatakan ia tajaan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), komuniti di situ atau penyokong mereka…namun ia tetap satu kesalahan mengikut Seksyen 8, akta berkenaan.

"Ia tetap satu kesalahan kerana mengadakan jamuan makan, kalau disiasat secara teliti oleh pihak berkuasa, akhirnya pasti akan dapat dikesan wang itu datang daripada parti atau mungkin juga sumbernya daripada kerajaan," katanya kepada Harian Metro.

Beliau mengulas mengenai corak kempen sepanjang PRN kali ini sama ada ia benar-benar bersih atau terdapat kesalahan yang masih dilakukan seperti salah laku rasuah, memainkan isu 3R (agama, kaum dan raja) dan menyebarkan fitnah.

Jais turut berkata, MCW turut mengesan satu kes yang dirakam oleh pemerhatinya melalui video, membabitkan jualan barangan oleh parti politik dengan harga yang terlalu murah.

"Kes ini kita jumpa secara berdepan. Ia membabitkan jualan barangan keperluan rumah oleh satu parti politik. Nak bagi percuma nanti dikatakan rasuah, jadi mereka jual tiga hingga empat barang, cuma RM10. Jika dilihat pada barang dan harganya, memang tak munasabah.

"Ini satu daripada cara untuk parti nak elak disabitkan dengan kesalahan akta berkenaan," katanya yang memberitahu, sekurang-kurangnya 10 aduan diterima oleh MCW setiap hari berkaitan salah laku kempen pilihan raya.

Bagaimanapun, katanya, selepas melakukan tapisan terutama mengenai kesahihannya, hanya lima daripada laporan berkenaan dipanjangkan kepada pihak berkuasa berkaitan iaitu Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Tiada ulasan: