"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

BN mampu tawan 6 atau 7 kerusi di Selangor

Nora Mahpar

PETALING JAYA: Barisan Nasional (BN) dijangka menyumbang enam atau tujuh kerusi daripada 12 DUN ditandingi apabila Selangor hampir pasti kekal milik Pakatan Harapan (PH), selepas gabungan itu dilaporkan melepasi majoriti mudah untuk membentuk kerajaan.

Pengarah Jentera Pilihan Raya PKR, Yaakob Sapari, berkata antara kerusi berpotensi ditawan BN adalah DUN Gombak Setia dan Dusun Tua yang masing-masing ditandingi Ketua Umno Selangor Megat Zulkarnain Omardin dan timbalannya Johan Aziz.

Gombak Setia sebelum ini dimenangi Hilman Idham daripada Bersatu manakala Dusun Tua milik DAP.

“Berdasarkan rekod di Gombak, pengundi di sana menolak ‘pengkhianat’. Tengok rekod Azmin (Ali pada PRU15) kalah besar di sana. Ini menunjukkan orang yang khianat, rakyat Selangor marah,” katanya kepada FMT.

Kerusi lain yang boleh menambah “jajahan BN” adalah DUN Batang Kali dan Sijangkang yang mana kawasan tersebut mempunyai sokongan “pada tahap tertinggi” daripada akar umbi blok PH-BN, kata bekas Adun Kota Anggerik itu.

“Batang Kali kerusi yang bagus (berpotensi besar untuk menang), penyokong kita (PKR) kuat di sana, pada masa sama Umno memang sudah ada rekod kuat di situ sebelum ini.”

Sementara itu, DUN Sijangkang yang diwakili calon muda Al-Hafizi Abu Bakar, dilihat mampu memberi sinar baharu kepada penduduk kawasan jajahan PAS tersebut apabila penyandangnya, Dr Yunus Hairi disifatkan gagal membawa sebarang perubahan baharu walaupun sudah menang empat edisi pilihan raya.

“Dulu ya dia bersama dalam kerajaan negeri tetapi sekarang menjadi wakil rakyat pembangkang, macam mana nak berkhidmat untuk rakyat?

“Saya percaya orang Sijangkang sudah sedar beliau tak boleh berkhidmat dengan baik untuk komuniti.”

Selain empat kerusi itu, BN turut bertanding di Kuang, Jeram, Selat Kelang, Dengkil, Sungai Panjang, Sungai Air Tawar, Sungai Burong, dan Semenyih.

Terdahulu, FMT melaporkan gabungan PH-BN mampu menang maksimum 40 daripada 56 kerusi DUN Selangor, sekali gus melepasi majoriti dua pertiga.

Tiada ulasan: