"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

PRN: 'Isu air bakal tumbangkan Mohd Amar di DUN Panchor'

Hidayatidayu Razali
bhnews@bh.com.my

KOTA BHARU: Calon Pakatan Harapan (PH) Dewan Undangan Negeri (DUN) Panchor yakin mempunyai kelebihan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabtu ini walaupun terpaksa berdepan penyandang memiliki nama besar yang ada pertalian darah.

Syed Mohd Alidustur Syed Mohd Zain, 50, kali pertama diangkat sebagai calon pilihan raya akan bertembung dengan Timbalan Menteri Besar yang juga Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

Mengakui Mohd Amar dikenali bukan sahaja di Kelantan, Syed Mohd Alidustur yang juga Timbalan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Kelantan, berkata perkara itu dijadikan cabaran untuk dirinya supaya terus berusaha memenangi hati rakyat di DUN berkenaan yang menjadi kubu kuat PAS sejak sekian lama.

"Saya tidak gentar, namun saya akan berusaha untuk mendapat tempat di hati rakyat DUN ini. Justeru, saya mahu bertanding secara sihat apabila berkempen masuk ke kawasan kampung untuk bertemu penduduk.

"Alhamdulillah, saya mendapat makluman positif daripada rakyat yang menyatakan sokongan kepada Kerajaan Perpaduan dan saya sebagai calon.

"Masyarakat di DUN ini juga mahu isu air yang sekian lama berlaku dapat diselesaikan dengan segera. Saya dan rakan-rakan mahu masalah ini selesai demi kesejahteraan dan kemudahan penduduk," katanya.

Beliau berkata ketika ditemui pada sidang media di Bilik Gerakan BN-PH Kampung Kedai Lalat, Sering di sini, hari ini. Yang turut hadir, Ahli Parlimen Wangsa Maju, Zahir Hassan.

Syed Mohd Alidustur berkata terdapat kira-kira 42,000 pengundi di DUN itu dengan sebahagian mereka menggunakan air telaga tiub berikutan dibelenggu masalah air bersih.

Beliau berkata lebih 10,000 isi rumah atau 2,500 penduduk menggunakan Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB).

"Manifesto PH dan Barisan Nasional (BN) Kelantan untuk menghapuskan tunggakan bil air jika diberi mandat pada PRN ini akan memberi manfaat kepada penduduk di DUN Panchor.

"Saya harap pengundi membuat pilihan yang tepat untuk kemudahan mereka," katanya.

Tiada ulasan: