"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Bersatu semakin mengarut - Bekas MPvt

Malaysiakini

Bekas pemimpin Bersatu yang meninggalkan wadahnya itu pagi tadi berkata, tentangannya terhadap pemilihan calon untuk menghadapi pilihan raya negeri (PRN) kali ini dibuat demi parti.

Menurut Muhammad Faiz Na'aman untuk berdepan dengan lawan, Bersatu-PN memilih individu yang sudah ditolak orang ramai termasuk di tempat mereka sendiri.

Justeru katanya Bersatu hanyalah bergantung kepada calon kitar semula dalam percaturan mereka mendepani PRN pada Sabtu ini sekali gus menempah kegagalan buat parti terbabit.

“Jadi, saya ini boleh dianggap lebih mementingkan kemenangan partilah.

“Kalau kita (Bersatu) letak calon yang dah kena reject (ditolak) kita sebenarnya bukan nak memenangkan parti, sebab beginilah percaturan yang membawa kekalahan seperti semasa PRN Melaka dan Johor sebelum ini,” katanya kepada Malaysiakini.

Tambah bekas anggota Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu itu lagi keadaan adalah berbeza apabila dia dicalonkan untuk bertanding di Bagan Datuk pada PRU ke-15 tahun lalu.

Katanya, dia kalah - kepada Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi - di luar kawasannya sendiri.

Tanpa menyebut nama dipercayai kenyataan Faiz itu merujuk kepada beberapa tokoh yang sebelum ini merupakan pemimpin PKR yang menyertai Bersatu.

Letak calon bukan-bukan

Untuk rekod Bersatu meletakkan bekas timbalan presiden PKR Azmin Ali untuk bertanding di kawasan Hulu Kelang. Ia sekali gus mencetuskan ura-ura bekas menteri itu akan menjadi calon menteri besar jika PN mengalahkan PH-BN Sabtu ini.

Selain itu beberapa watak yang terlibat dalam Langkah Sheraton juga diberi ruang bertanding, seperti Hilman Idham dan Afif Bahardin yang dilihat rapat dengan Azmin.

Faiz juga dilihat kurang senang dengan pencalonan Ketua Wanita Bersatu, Rina Harun, yang diturunkan bertandin bagi mencabar PH di kerusi DUN Batu Tiga.

Azmin sebelum ini gagal mempertahankan kerusi parlimen Gombak, manakala Rina kalah dalam cubaannya memenangi kerusi parlimen Sepang.

“Tak puas hati sangat sebab kita tahu mereka ini telah ditolak oleh orang negeri mereka sendiri.

"Mereka ini bertanding dengan negeri mereka, tetapi mereka ini telah ditolak oleh orang negeri mereka sendiri, dekat tempat mereka sendiri pun telah ditolak.

“Bukan macam saya sebelum ini yang bertanding di Bagan Datuk,” katanya.

Menurut Faiz, kekalahan PN sebelum ini juga berpunca daripada kriteria calon yang dipertandingkan.

“Bersatu kalah selama ini sebab letak calon yang bukan-bukan. Itu faktor yang saya tengok lama dulu, kenapa dok ulang-ulang lagi?

“Tak ada kesedaran dari pihak parti sendiri,” katanya.

Kena puji PKR

Jelas Faiz, sebelum ini Bersatu kononnya meletakkan syarat tertentu dan penanda aras yang tinggi bagi sesiapa yang ingin bertanding dalam pilihan raya.

Bagaimana pun, syarat itu tidak terpakai langsung.

Contohnya, kata Faiz, memiliki kelulusan akademik yang setaraf dengan pesaing, tidak ada kes mahkamah atau kes polis, serta setia kepada parti.

Bersatu juga dakwanya mahu meletakkan kuota tertentu untuk calon dalam kalangan orang muda tetapi ia tidak terzahir apabila senarai dikeluarkan.

"Kalau tengok dalam PRN Selangor ini, mana ada calon dari Armada (Pemuda Bersatu)? Tak ada!

“Benda-benda beginilah yang menyebabkan saya rasa dah makin mengarutlah,” katanya.

Pada masa sama Faiz melihat pendekatan diambil PKR sangat jauh berbeza daripada partinya.

Parti itu, kata Faiz, jelas menuju ke arah proses merejamakan politik serta stabil dari segi organisasi.

“Yang ini kita kena puji (PKR), memang nampak mereka bersungguh untuk mengetengahkan muka-muka baru yang berlatarbelakangkan profesional. Yang ini kita kena puji,” katanya.

Faiz juga berkata, PKR jelas kelihatan komited membawa pembaharuan dan calon yang ditampilkan memang dihormati orang ramai.

Tiada ulasan: