"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Gerakan bantah hudud, kenapa kerjasama dengan PAS, tanya Anwar

Dineskumar Ragu

BUKIT MERTAJAM: Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Anwar Ibrahim mempertikaikan langkah Gerakan bekerjasama dengan PAS dalam Perikatan Nasional (PN) sedangkan ia menentang undang-undang hudud dan pengajaran tulisan jawi di sekolah sebelum ini.

“(Gerakan) fail saman berhubung hudud dan mengkritik pengajaran tulisan Jawi. Namun, (kini) ia boleh bekerjasama dengan PAS,” katanya pada ceramah di Penanti malam tadi.

Pada 2015, Gerakan memfailkan saman terhadap kerajaan Kelantan, mencabar keperlembagaan pindaan hudud yang diluluskan di DUN.

Pada 2019, parti itu menentang keputusan Kementerian Pendidikan bawah pentadbiran PH ketika itu supaya tulisan jawi diajar di sekolah vernakular.

Anwar, yang juga perdana menteri, kemudiannya menyelar pihak tertentu daripada pembangkang kerana menjenamakan DAP sebagai anti-Islam, dan menuduhnya tunduk kepada parti itu.

Sepanjang pentadbirannya, katanya, DAP tidak pernah menentang usaha kerajaan menerbitkan buku-buku Islam dengan dana awam dan memperkemas sistem perundangan syariah.

“Bagi saya, Loke Siew Fook (setiausaha agung DAP) 100 kali lebih baik berbanding Dominic (Lau) daripada Gerakan,” tambahnya.

Sokong calon perpaduan, gesa Anwar

Dalam ucapannya, Anwar turut menggesa rakyat Pulau Pinang mengundi semua calon PH dan Barisan Nasional (BN) kerana mereka disokong oleh kerajaan perpaduannya.

“Calon kita sama ada pakai baju PH atau BN, itu calon saya dan calon kerajaan yang saya pimpin,” katanya.

Beliau turut meminta pengundi Permatang Pauh mencetus perubahan kali ini dengan menyokong calon PH di Penanti (Roshidi Hussin); Permatang Pasir (Faiz Fadzil); dan Seberang Jaya (Johari Kassim).

PH kehilangan kerusi Parlimen Permatang Pauh, yang dianggap kubu kuat keluarga Anwar, kepada PN pada PRU15 November lepas apabila anaknya, Nurul Izzah, tewas kepada calon PAS, Fawwaz Mat Jan.

Anwar juga berkata, selain mengekalkan Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan, gabungan perpaduan mampu menawan Kedah pada PRN 12 Ogos ini.

Beliau memetik sambutan meriah yang diterimanya di negeri itu, termasuk di Jeniri, kawasan DUN Sanusi Nor.

Tiada ulasan: