"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Rafizi:PN masuk perangkap bila setuju berdebat

Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid
khairil.ashraf@hmetro.com.my

Seremban: Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli mendakwa Perikatan Nasional (PN) 'masuk perangkap' apabila Ahli Parlimen Bachok, Mohd Syahir Che Sulaiman bersetuju berdebat dengannya mengenai hal ehwal ekonomi pada Rabu.

Menyifatkan perdebatan itu adalah kemuncak perangkap, Rafizi yang juga Menteri Ekonomi berkata, ia sudah lama dirancang pihaknya dan PN tidak melihat mengenai perkara itu.

"Dah rancang daripada awal (bila) kita ambil kerajaan. Bermula bulan Jun, kita lancar satu demi satu (pengumuman mengenai hal ehwal ekonomi).

"Biarlah dia nak maki hamun (sebelum itu) kata kerajaan tak buat apa, tak guna, tak tunai janji dan sebagainya," katanya pada Jelajah Madani di Dataran Ampangan malam tadi.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Pandan itu mendakwa, beliau juga mengetahui bahawa tidak akan ada mana-mana kepimpinan atasan PN yang berani berdepan dengan pimpinan Kerajaan Perpaduan bagi membahaskan mengenai kesejahteraan rakyat.

Beliau berkata, tujuan utama perdebatan yang disiarkan secara langsung di televisyen itu adalah agar pihaknya dapat 'bercakap' kepada pengundi-pengundi atas pagar dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan berlangsung pada 12 Ogos ini.

"Kerana pengundi atas pagar ini tak dengar ceramah. Dia sebenarnya sibuk dengan kerja sehariannya.

"Kadang-kadang dia pergi ke pejabat, dia dengar (debat ini) separuh, (kemudian separuh lagi) dia dengar sini (tempat lain). Keputusan (memangkah parti mana dalam pilihan raya) itu selalunya dibuat pada saat-saat akhir. Dua tiga hari sebelum mengundi.

"Sebab itu daripada awal lagi saya cungkil dan cabar supaya panglima-panglima PN ini berani tampil berdebat," katanya.

Menerusi ceramahnya juga, Rafizi juga menyentuh mengenai calon PN bagi Hulu Kelang, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang bertanding di Jeneri.

Dakwa Rafizi, mengikut bacaannya, kemenangan Mohamed Azmin adalah 50/50 di Hulu Kelang.

"Sekarang lawan di kampung dia sendiri dengan segala yang dia sudah labur selama ini. Saya beritahu setakat ini Azmin Ali nyawa-nyawa ikan, 50/50 di Hulu Kelang," katanya.

Rafizi turut mendakwa bahawa Muhammad Sanusi sudah 'digam' daripada berucap oleh kepimpinan PN dalam minggu terakhir kempen PRN ini.

"Mereka pun tahu setiap kali Sanusi buka mulut mesti hilang undi, buka mulut hilang undi.

"Sebab itu dalam minggu terakhir ini, Sanusi hanya dibenarkan main sepak takraw saja.

"Dia hanya muncul dalam program-program rakyat pasal bola. Eh, kita ini nak pilih Menteri Besar ke jaguh kampung main takraw?" soalnya.

Tiada ulasan: