"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

PMX: 'Menantu Muhyiddin tak perlu lari jika tak bersalah dakwaan rasuah'

Malaysiakini
Perdana Menteri Anwar Ibrahim hari ini mengulas tindakan SPRM yang sedang mengesan dua individu, termasuk menantu kepada Pengerusi PN Muhyiddin Yassin.

Beberapa media tempatan memetik Anwar berkata tiada sebab untuk seseorang melarikan diri daripada siasatan, jika dia yakin dirinya tidak bersalah.

“(Slogan pentadbiran) bersih itu dah tak ada, sebab hari ni kenyataan SPRM bahawa menantu calon PM (Muhyiddin) dah lari … mana boleh.

"Kalau ada bukti, siasat, dia (SPRM) dakwa, kalau rasa tak salah pertahanlah (diri). Lari bukan contoh yang baik.

“Jadi kamu (PN) kena jaga hal ini. Kerana jumlah (wang) yang dikaitkan dengan rasuah itu banyak.

"Jadi soal (guna slogan pentadbiran) bersih itu, PAS, Bersatu dan PN tak boleh guna kerana terlalu terpalit dengan rasuah,” katanya kepada pemberita selepas beramah mesra dengan penduduk di Perda, Nibong Tebal, hari ini.

Semalam, SPRM mengeluarkan kenyataan sedang mengesan dua lelaki, termasuk Muhammad Adlan Berhan yang juga menantu kepada Muhyiddin dan seorang lagi individu Mansoor Saat, 69 tahun.

SPRM berkata ini bagi membantu siasatan isu rasuah dan penyelewengan berhubung projek berkaitan pendaftaran, pengambilan serta penyimpanan biometrik pekerja asing di sebuah kementerian.

Kontrak sistem imigresen

Hasil semakan SPRM dengan Jabatan Imigresen Malaysia, kedua-dua penama berkenaan telah meninggalkan Malaysia masing-masing pada 17 Mei dan 21 Mei 2023 serta tiada rekod masuk kembali ke negara ini.

Muhyiddin pada Feb lalu menafikan sebarang penglibatan ketika dia menjadi perdana menteri dalam pemberian kontrak yang didakwa ada kaitan dengan menantunya Adlan.

Ini selepas SPRM dilaporkan sedang menyiasat penganugerahan kontrak itu atas alasan kemungkinan salah guna kuasa dalam Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe).

"Saya sebagai perdana menteri pada masa itu sama sekali tidak terlibat dalam proses penganugerahan kontrak NIISe kepada IRIS Corporation Berhad yang dijalankan secara tender terbuka," kata Muhyiddin pada 9 Feb.

Muhyiddin yang juga presiden Bersatu berkata tiada ahli keluarganya mempunyai hubungan dalam IRIS Corporation Berhad, sama ada sebagai pengarah syarikat atau pemegang saham.

Pada 2020, pentadbiran Muhyiddin mengumumkan NIISe sebagai "sistem yang lebih baik" bagi menangani kelemahan Sistem Imigresen Malaysia (MyIMMs) yang dikatakan tidak dapat mengesahkan pergerakan warga asing.

NIISe kemudiannya dilancarkan oleh Kementerian Dalam Negeri pada April 2021, diketuai oleh menterinya ketika itu Hamzah Zainudin.

Dia berkata sistem imigresen sedia ada, MyIMMs, perlu diganti dengan sistem imigresen yang lebih canggih, bersepadu dan holistik yang dilengkapi teknologi terkini seperti Kepintaran Buatan, Internet Semua Perkara (IOT) dan Analisis Data Raya.

Hamzah berkata IRIS Information Technology Systems Sdn Bhd akan membangunkan NIISe bersama KDN dan badan bebas lain menjelang 2024.

Terdahulu, media tempatan melaporkan Adlan ialah pemain utama dalam konsesi NIISe bernilai RM1.2 bilion melalui pautan dalam salah satu pendahulu projek itu, penyedia penyelesaian keselamatan S5 Holdings Inc.

Bagaimanapun, pengarah urusan kumpulan S5 Syed Mohammad Hafiz Jamalullail menafikan pada 2021 bahawa tiada rakannya dalam politik, termasuk Adlan, yang terlibat dalam syarikat itu.

Tiada ulasan: