"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

PRN Kelantan: Nekad, Sepupu buka markas PH di pekarangan rumah Mohd Amar

N Faizal Ghazali
Seorang sepupu kepada timbalan menteri besar sementara Kelantan Mohd Amar Abdullah tampil membuat kejutan dengan membuka markas PH berhampiran dengan rumah pemimpin PAS itu di Kampung Panchor, Kota Bharu.
Muhamad Fekri Muhamad Yusoff, 62, berkata tindakannya membuka markas itu selepas calon daripada PH iaitu Syed Mohd Alidustur Syed Mohd Zain dicalonkan berdepan Mohd Amar pada pilihan raya negeri (PRN) kali ini.

Menurutnya, ia merupakan sejarah peribadi tersendiri apabila sejak 60 tahun lalu tidak pernah sebarang markas selain PAS didirikan di kawasan itu.

“Kali ini saya nekad membuka markas PH di sini sejak Syed Mohd Alidustur dicalonkan bertanding bagi kerusi dewan undangan negeri (DUN) Panchor.

“Saya merupakan penyokong PH sejak PRU ke-14 lalu, sebelum itu sokong PAS juga.

“Tetapi kali ini saya zahirkan sokongan dan mengetuai markas jentera di sini,” katanya ketika ditemui Malaysiakini, malam tadi.

Untuk rekod Mohd Amar merupakan penyandang kerusi DUN Panchor yang mula ditandingi sejak 2004 dan sekali lagi menjadi taruhan PAS kali ini.

Sementara itu, tinjauan Malaysiakini mendapati markas PH berkenaan terletak di tepi jalan utama Panchor - Pandang Tembak sekitar 30 meter dalam pekarangan rumah naib presiden PAS itu.

Terletak di atas tanah sama, bersebelahan markas PH itu juga didirikan markas PAS yang terletak di depan laluan masuk ke rumah Mohd Amar.

Dalam perkembangan berkaitan, Muhamad Fekri yang mesra disapa sebagai Pok Ki berkata walaupun berbeza pegangan politik dia dan keluarga sepupunya itu tidak mempunyai sebarang masalah peribadi.

“Pada saya ini hanyalah perbezaan politik dalam kita meraikan proses demokrasi dalam tempoh PRN ini berlangsung saja.

“Adik saya sendiri penyokong tegar dan jentera PAS juga, tapi saya pilih parti yang berlawanan,” katanya.

Muhamad Fekri Muhamad Yusoff.
Ditanya apakah punca dia tidak lagi menyokong PAS, Pok Ki berkata perubahan itu berlaku selepas hilang kepercayaan terhadap kepimpinan parti itu sekarang.

“Saya lihat cara PAS semakin berubah selepas ketiadaan Almarhum Nik Abdul Aziz Nik Mat (bekas mursyidul am PAS) yang memimpin negeri Kelantan sebelum ini.

“Sejak itu saya bukan lagi penyokong PAS, saya sempat menyertai parti Bersatu tetapi keluar selepas parti itu tidak bersama PH lagi,” katanya.

Tiada ulasan: