"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Saifuddin dakwa ada kes kecurian baru REE di Sik

Bernama

Ketua Setiausaha PH Saifuddin Nasution Ismail mendakwa terdapat satu lagi kes kecurian unsur nadir bumi (REE) berlaku di dalam kawasan milik Perbadanan Menteri Besar (MBI) Kedah, baru-baru ini.

Dia yang juga menteri dalam negeri berkata kes terbaru berlaku di kawasan Bendang Man, Sik, iaitu terletak kira-kira 10 hingga 15 kilometer dari Hutan Simpan Bukit Enggang iaitu kawasan berlakunya kecurian sebelum ini.

Katanya polis telah membuat tangkapan serta merampas lima guni disyaki berisi REE yang dibawa keluar daripada kawasan berkenaan didakwa bagi tujuan persampelan.

"Difahamkan tangkapan telah dibuat tetapi saya tidak pasti berapa jumlah yang ditahan, itu kena rujuk dengan pihak polis. Mereka kata REE itu untuk sampel penerokaan...kalau untuk sampel, kenapa sampai lima guni yang dibawa keluar.

“Tetapi, saya boleh sahkan memang ada surat bertarikh 3 Mei 2023 yang memberi kebenaran untuk memasuki tanah milik MBI di Kampung Bendang Man itu,” katanya pada sidang media di Pejabat PKR di Alor Setar, hari ini.

Saifuddin Nasution berkata menteri besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor selaku pengerusi MBI perlu memberi penjelasan bagaimana CEO MBI Kedah Muhammad Sobri Osman boleh mengeluarkan surat kepada Jangka Bakat Minerals Sdn Bhd untuk memasuki dan melakukan penerokaan di kawasan itu.

“Apa tujuan membenarkan mereka masuk ke kawasan MBI? Kalau Mahir Binari Sdn Bhd sebelum ini diberi kebenaran masuk untuk kerja pembukaan ladang hutan, manakala Jangka Bakat ini pula bertujuan untuk pengambilan sampel.

“Sama ada ladang hutan atau pengambilan sampel, perkara ini tidak boleh dibiarkan kerana ia membuka pintu insiden kecurian berlaku di kawasan berkenaan,” katanya.

Justeru, Saifuddin menyeru rakyat Kedah supaya memberi mandat kepada kerajaan perpaduan pada PRN ini bagi menghentikan kecurian itu.

“Kalau menang kita akan hentikan kecurian REE ini dan akan batalkan semua surat yang telah diluluskan. Kita juga akan guna semua bidang kuasa untuk pastikan siasatan berterusan serta akan memberi kerjasama yang baik kepada polis dan SPRM,” katanya.

Sebelum ini, Saifuddin Nasution telah melakukan beberapa siri pendedahan berhubung kecurian REE di Bukit Enggang dan mendakwa kecurian itu berlaku dengan pengetahuan Muhammad Sanusi.

-Bernama

Tiada ulasan: