Benz Ali
Pilihan raya negeri seterusnya akan berlangsung beberapa hari lagi.
Sungguhpun peringkat parlimennya telah dimenangi oleh Pakatan Harapan (PH) dan BN, demokrasi pilihan raya di Malaysia juga mempunyai peringkat negeri iaitu DUN.
Pentasnya baru sahaja dibuka, pada 23 Jun yang lalu, lebih 200 hari sejak Anwar Ibrahim mengangkat sumpah sebagai perdana menteri.
Bagaimanapun kita tidaklah boleh mengharapkan begitu banyak dari Anwar yang baru memerintah belum pun cukup setahun, meskipun dalam retoriknya sendiri, tanpa diletakkan pistol di kepala, beliau sendiri mengatakan bahawa jika menang hari ini, semalam akan turun harga minyak.
Tiada siapa pun yang pernah memaksanya mengatakan sedemikian.
Bagaimanapun selaku rakyat yang boleh berfikir dengan akal yang sihat, minda yang waras, kita tahu itu jauh dari keupayaan beliau untuk menyelesaikan beban ekonomi terhadap rakyat dalam masa yang singkat.
Jika hari ini kita boleh bebaskan fikiran kita dari penyakit taksub (atau popular di sosial media sebagai “walaun” atau “walanon” atau “walatun”) maka masa depan Malaysia masih ada.
Ada yang berpendapat, jika kita sering sahaja menukar pemerintah dalam masa yang sangat singkat, Malaysia akan terus ketinggalan berbanding negara-negara lain.
Dan selepas pemerintahan Najib Razak, politik Malaysia belum benar-benar stabil baik di era Mahathir Mohamad yang hanya mampu bertahan 22 bulan, diikuti Muhyiddin Yassin selama 17 bulan dan seterusnya Ismail Sabri selama 15 bulan.
Persoalannya, mampukah rejim Anwar melepasi 22 bulan dari rejim Mahathir-PH?
Ramai orang mengatakan Mahathir juga pada awal penggal pemerintahannya, iaitu ketika beliau masuk pejabat sebagai perdana menteri pada 16 Julai 1981, dalam lima tahun pemerintahannya yang pertama, tidaklah banyak yang dapat diberikan kepada rakyat Malaysia.
Hanya sanya pada penggal-penggal berikutnya barulah beliau boleh memberikan sesuatu pada rakyat Malaysia.
Ini bererti selepas 10 tahun pemerintahannya baru kita boleh melihat sesuatu.
Sama ada kita bersetuju atau tidak apa yang dilakukannya, itu persoalan yang lain.
Begitu juga dengan Najib, dikatakan pada penggal pertama pemerintahan beliau, bermula 3 April 2009, tidaklah banyak benda yang beliau berikan pada rakyatnya.
Satu penggal lagi untuk Anwar
Hanya sanya bila memasuki penggal kedua, barulah projek-projek infra kepada rakyat banyak dibuat.
Jokowi juga selepas bertahan lebih dari satu penggal barulah dapat memberikan banyak sumbangan kepada rakyat Indonesia.
Begitu juga Vladimir Putin di Rusia, Recep Tayyip Erdoğan di Turki dan Xi Jinping di China.Tetapi apakah kita sanggup menunggu Anwar sehingga habis penggal ini, dijangka paling awal ialah tahun 2026?
Dan apakah kita sanggup memberikan kepada beliau satu lagi penggal, iaitu sehingga 2030?
Maka kerana itu perlunya referendum kepada PH-BN.
Kalaupun kita tidak sanggup untuk ketidaktentuan politik akibat kekerapan pertukaran rejim pemerintah, sekurang-kurangnya mesej harus sampai kepada mereka, bahawa rakyat bawahan tidak memberikan cek kosong apabila mengundi mereka.
Sekurang-kurangnya apabila beberapa kerusi PH-BN hilang atau beberapa negeri terlepas ke PN, itu akan membuatkan atau mendesak supaya PH-BN bekerja lebih keras lagi untuk faedah rakyat.
Sekiranya mereka menang begitu besar dan begitu selesa, mereka akan lupa diri dan merasakan tiada keperluan untuk menambah baik kepentingan rakyat.
Perubahan peringkat negeri tidak akan mengakibatkan perubahan yang besar di peringkat parlimen.
Sehingga habis penggal ini, jika Anwar tidak mengumumkan pembubaran parlimen, Malaysia tetap akan ditadbir oleh PH-BN.
Makanya, kerana itu menghantar referendum kepada PH-BN di peringkat negeri hanya akan menekan mereka supaya makin memperkemaskan gerak kerja mereka dalam membantu menyelesaikan masalah ekonomi rakyat. Supaya mereka makin mempedulikan kesusahan dan permasalahan rakyat.
Jika PH-BN menang besar, maka terbitlah dalam fikiran mereka, apa lagi perlu diubah kerana rakyat telah memberikan kemenangan besar?
Sesebuah parti atau gabungan politik itu akan menjadi besar kepala bila dalam demokrasi ia membolot kerusi begitu banyak.
Referendum buat PAS Kelantan
Kerana itu bila menang besar, muncullah kenyataan yang begitu popular di dunia maya, “Ini kerajaan kami, jadi ikut suka kamilah”.
Dan referendum juga lebih penting terutama pada PAS di Kelantan.
Yang terlebih penting selain menghantar referendum kepada PH-BN, ialah menghantar satu mesej jelas kepada PAS yang telah memerintah Kelantan begitu lama, tetapi masalah air bersih pun tidak mampu dibereskan.
Masalah air bersih yang sangat asasi ini, sehingga ke hari ini pun belum mampu diatasi.
Adalah satu kecelakaan maha besar apabila sesuatu gerombolan itu dibenarkan memerintah selama-lamanya, sewenang-wenangnya tanpa apa-apa gugatan.
PAS yang mendominasi Kelantan selama-lama ini tidak mampu memberikan air bersih kepada penduduk mereka.
Seperti disebutkan sebelum ini, PAS memerintah Kelantan selama tiga kali tempoh Nabi Muhammad SAW memerintah Madinah. Tetapi kita tidak mendengar para Sahabat minum air kotor.
Tetapi PAS telah memerintah Kelantan selama 33 tahun! Ini berlaku kerana mereka begitu selesa memerintah tanpa cabaran.
Dikatakan jika diletakkan kopiah putih sebagai calon pun, pasti akan menang. Kerana itu pentingnya PAS perlu dikalahkan sekurang-kurangnya di Kelantan.
Menumbangkan PAS di Kelantan seharusnya menjadi cita-cita penting, yang boleh dianalogikan dengan kaedah fikah, “ma la yatimmu wajib illa bihi fahua wajib” (Perkara yang menjadi penyempurna dari perkara wajib, hukumnya juga wajib).
Iaitu jika air bersih itu wajib dan asasi, maka menumbangkan PAS menjadi satu kewajiban yang lebih asasi.
Berbeza dengan negeri-negeri tadbiran PAS yang terkini, seperti Kedah dan Terengganu, disebabkan sering berlakunya pergiliran tampuk pemerintahan parti yang memerintah, menyebabkan sedikit sebanyak ada manfaat dan perubahan pada negeri tersebut.
Sesekali PAS, sesekali Umno.
Kerana itu menyebabkan kemajuan dua negeri ini adalah lebih baik jika nak dibandingkan dengan Kelantan.
Curah air ke daun keladi
Sekurang-kurangnya air bersih bukan tajuk utama atau serangan pihak lawan kepada PAS Terengganu atau PAS Kedah.
Ini berlaku disebabkan penduduk kedua negeri ini agak cerdik dalam mendapatkan manfaat buat mereka.
Mengekalkan pemerintahan Kelantan bawah PAS sekali lagi, akan mengakibatkan masalah air bersih tidak akan selesai.
Mengekalkan pemerintahan Kelantan bawah PAS sekali lagi menyebabkan pemimpin-pemimpin PAS, exco-exco mereka boleh mempunyai kereta Mercedes dan mendapat gaji serta elaun yang lumayan.
Disebabkan mereka sudah lama tidak jadi pembangkang dan pembangkang pula begitu lemah,tiada saingan yang kuat buat PAS di Kelantan.
Jika PAS boleh ditumbangkan di Kelantan, atau hampir sipi kemenangan seperti pernah berlaku satu masa dulu, barulah masalah air bersih di Kelantan segera dibereskan.
Bagaimanapun jika anak-anak Kelantan berfikiran bahawa air kotor itu bukan isu besar, maka eloklah dibiarkan sahaja masalah ini.
Pepatah Melayu menyebut, sesuatu hal yang sia-sia itu seperti mencurah air di daun keladi.
Jika mereka merasakan minum air kotor itu tidak merosakkan kesihatan, dan merasakan mengekalkan pemerintahan PAS Kelantan lebih penting dari menyediakan air bersih, maka eloklah dibiarkan sahaja.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan