"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Tak mustahil lebih ramai sokong Anwar jika PN enggan runding

Mohd Farhan Darwis
Ahli Parlimen Perikatan Nasional Suhaili Abdul Rahman dan Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid menyatakan sokongan kepada Anwar Ibrahim.
PETALING JAYA: Fenomena Ahli Parlimen pembangkang menyokong Perdana Menteri Anwar Ibrahim akan terus berlaku kecuali pemimpin Perikatan Nasional (PN) meterai suatu persefahaman dengan pemerintah bagi membolehkan peruntukan sama rata untuk semua wakil rakyat, kata penganalisis.

Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisomuddin Bakar, percaya pemeteraian suatu perjanjian kepercayaan dan perbekalan (CSA) seperti ketika pentadbiran Ismail Sabri Yaakob akan meredakan tekanan dalam kalangan PN selepas dua wakil rakyatnya menyatakan sokongan kepada kepimpinan Anwar baru-baru ini.

“Ahli di bawah perlukan peruntukan tapi pimpinan tak berunding. Tidak ada kenyataan tuntas berkenaan tawaran dibuka Putrajaya kepada pembangkang,” katanya, dan menambah hanya PN akan terjejas jika situasi itu berlarutan.

Semalam, Ahli Parlimen Labuan Suhaili Abdul Rahman mengikut jejak Ahli Parlimen Kuala Kangsar Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid yang menyatakan sokongan kepada Anwar pada 12 Okt lalu, dengan masing-masing sedia berdepan tindakan daripada parti mereka.

Hisomuddin menjangkakan tidak banyak pilihan di tangan pimpinan PN jika enggan berbincang dengan pemerintah, selain sekadar meminta wakil rakyat terbabit memberikan surat tunjuk sebab. “Ia beri tekanan kepada PN,” tegasnya.

Sementara itu, Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia maklum alasan kedua-dua Ahli Parlimen PN terbabit, iaitu mengharapkan dana kerajaan untuk disalurkan ke kawasan masing-masing.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Kuala Kangsar akui beliau tidak sanggup melihat pengundi di kawasannya terbiar semata-mata perbalahan naratif politik.

“Apakah lebih ramai Ahli Parlimen Bersatu akan berbuat demikian? Itu perkara yang tidak mustahil jika lihat trend yang berlaku hari ini,” kata Mazlan kepada FMT.

Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya pula berpandangan kepimpinan PN tidak seharusnya membiarkan isu peruntukan untuk wakil rakyatnya dan perbincangan dengan kerajaan “tergantung” tanpa sebarang keputusan.

“Kalau tak diselesaikan ketua pembangkang, selagi benda itu tak berlaku selagi itulah perkara ini akan terus berlanjutan,” katanya.

“Apabila jadi wakil rakyat mereka perlu mekanisme kerajaan kerana jadi pembangkang itu sukar.”

Sebelum ini, Ahli Parlimen Pasir Mas Ahmad Fadhli Shaari, mempersoalkan keperluan berunding dengan pemerintah untuk peruntukan sama rata, beberapa hari selepas Ahli Parlimen Kuala Kangsar mengisytiharkan sokongan kepada Anwar.

Tiada ulasan: