"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Israel mengaku bedil kem Gaza, dakwa mahu tumpaskan komander Hamas

HarapanDaily.com

SITI NUR ZAWANI 

Berpuluh-puluh rakyat Palestin terbunuh selepas Israel meneruskan kekejaman dengan melancarkan serangan udara menyasarkan kem pelarian yang sarat dengan penduduk di Semenanjung Gaza semalam.

Tindakan itu menyebabkan kemusnahan besar selain turut meragut nyawa 50 rakyat Palestin dan seorang komander Hamas.

Pasukan Pertahanan Israel (IDF) mengaku membuat serangan ke atas kem pelarian terbesar di Gaza, dikenali sebagai Jabalia. Dakwanya ia bagi menyasarkan Komander Batalion Kanan Hamas, Ibrahim Biari.

Katanya, Ibrahim dikenal pasti sebagai antara dalang serangan Hamas pada 7 Oktober lalu tetapi dakwaan itu dinafikan pejuang Hamas.

Lapor Reuters, serangan bom regim Zionis itu menyebabkan kawasan terbabit dipenuhi runtuhan, selain dikelilingi bangunan konkrit yang rosak dan menunggu masa untuk roboh.

Susulan serangan itu, pasukan perubatan di Palestin kini bergelut untuk merawat semua mangsa selain terpaksa menyediakan bilik pembedahan di koridor hospital.

Malah, rakaman diperoleh Reuters menunjukkan barisan puluhan mayat berselimut dengan kain putih di sebuah hospital, selepas serangan ke atas Jabalia.

Kereta kebal Israel semakin banyak memasuki Gaza sejak empat hari lalu, menyusuli serangan udara selama beberapa minggu ini.

Puluhan kumpulan hak asasi manusia mengecam serangan Israel ke atas kem pelarian Jabalia dan menegaskan serangan udara yang membawa maut itu harus menjadi petanda kepada pemimpin dunia untuk mendapatkan gencatan senjata di Gaza.

Setakat ini, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, menolak gesaan antarabangsa untuk ‘perdamaian kemanusiaan’ bagi membolehkan penghantaran bantuan kepada mangsa perang, sebaliknya berikrar akan ‘memusnahkan Hamas’.

Orang awam di Gaza yang mengalami kekurangan makanan, ubat, air minuman dan bahan api kini sudah melampaui tahap kritikal.

Tentera darat Israel kini melancarkan serangan meluas terhadap pejuang Hamas yang berpangkalan di rangkaian terowong di bawah Gaza, di mana sebahagian daripada 240 tebusan yang diculik kini ditahan.

Menurut tentera Israel, anggotanya menyerang kira-kira 300 sasaran sejak beberapa hari lalu, termasuk peluru berpandu anti-kereta kebal dan pelancar roket di bawah lubang terowong, serta kawasan tentera bawah tanah Hamas.

Pejuang Hamas kemudiannya bertindak balas dengan bedilan peluru berpandu anti kereta kebal dan senjata berat.

Dalam satu kenyataan, Hamas mengakui pejuangnya terbabit dalam pertempuran sengit dengan tentera darat Israel, menyebabkan ramai kehilangan nyawa.

Tiada ulasan: