"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Sultan Ibrahim jadi Agong nanti masa yang menarik - TMJ

Malaysiakini

Berikutan kejatuhan keruntuhan kerajaan PH pada 2020, peranan Raja-Raja Melayu dalam politik dan pentadbiran negara semakin penting.

Sejak pilihan raya umum 2018, Raja-Raja Melayu telah merungkai episod politik dua rampasan kuasa di tengah-tengah pandemik Covid-19 dan kebuntuan selepas pilihan raya negara tahun lepas.

Sultan Pahang Sultan Abdullah Ahmad Shah, yang menjadi Yang di-Pertuan Agong ketika pergolakan politik ini serta menyaksikan tiga perdana menteri mengangkat sumpah, akan berundur pada Januari tahun depan.

Baginda akan digantikan oleh Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, dan Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail, menjelaskan ayahandanya mempunyai agenda yang "sangat jelas" apabila menjadi Agong kelak.

"Dia selalu cakap tentang mengembalikan (orde) pemerintahan kerana dengan situasi-situasi yang kurang stablil di dalam negara.

"Jadi, (baginda) nak memberi lebih kestabilan kepada negara," kata putera mahkota itu pada siaran Keluar Sekejap malam tadi.

Tunku Ismail juga percaya pemerintahan ayahandanya akan menjadi "masa yang menarik".

"Jadi Kebawah Duli (Sultan Ibrahim) ada rancangan dia. Dia nak bekerjasama atau pun memberi, berkongsi pendapat dan pandangan kepada perdana menteri. Kita akan lihat," katanya.

Apabila mengulas mengenai prestasi Perdana Menteri Anwar Ibrahim, Tunku Ismail berkata sebagai warga negara, baginda turut mempunyai hak untuk mengulas mengenai perkara politik.

Kedua-dua Sultan Ibrahim dan Tunku Ismail sering kali menyuarakan pendapat mengenai pelbagai isu baik di peringkat negeri mahupun nasional.

Sementara itu, putera mahkota itu juga berkata ayahandanya tidak akan berkompromi dalam hal menjaga kepentingan rakyat.

"Dia akan menjadi Agong yang no nonsense (tegas) bila berkaitan dengan kepentingan terbaik negara.

"Jadi dia tegas, tapi memahami," kata TMJ.

Tunku Ismail memberi contoh Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi akan mendapatkan perkenan sultan berhubung keputusannya dan baginda akan memberikan maklum balas dengan berterus-terang.

Pelantikan Onn Hafiz sebagai menteri besar Johor pada 2022 merupakan antara detik krisis politik.

Ini kerana BN Johor pada awalnya telah menggembar-gemburkan Hasni Mohamad akan kembali menjadi menteri besar sekiranya gabungan itu memenangi pilihan raya negeri.

Walaupun BN menang majoriti dua pertiga di negeri itu namun pelantikan Hasni tidak menjadi kenyataan dilaporkan kerana campur tangan dari "kuasa lebih tinggi".

Sementara itu, Tunku Ismail berkata ayahanda dan keluarga sedar akan tanggungjawab sebagai Agong.

"Ini adalah tugas, tanggungjawab untuk negara, bukan Johor saja.

"Tapi anda nampak, apa pun keputusan-keputusanyang dibuat atau pun polisi yang Kebawah Duli ada agenda tersebut...

"Perkara itu pun akan beri manfaat kepada negeri Johor juga dan juga negeri-negeri lain secara tidak langsung.

"Maksud saya ia tanggungjawab yang besar," katanya lagi.

Tiada ulasan: