"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pemuda AMANAH gesa KPM tidak tunduk desakan batal Solidariti Palestin

HarapanDaily.com

SITI NUR ZAWANI 

Pemuda AMANAH Terengganu menggesa agar Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) tidak tunduk kepada desakan mana-mana pihak supaya mengkaji semula keputusan menganjurkan minggu Solidariti Palestin.

Setiausahanya, Muammar Qaddafi Mohd Nasir berkata, insiden pelajar membawa senjata mainan yang dijadikan hujah utama beberapa pemimpin politik tidak sewajarnya dikaitkan dengan Minggu Solidariti Palestin kerana ia berlangsung di luar tempoh pelaksanaan (29 Oktober-3 November).

Biarpun desakan itu hadir dari kalangan parti komponen kerajaan sendiri, Muammar tidak senada dengan gesaan itu dan meminta agar kerajaan tidak membatalkan program yang telah dirancang.

“Ia juga merupakan insiden terpencil dan tidak seharusnya menjadi cerminan Minggu Solidariti Palestin yang dianjurkan KPM,” katanya dalam kenyataan.

Muammar juga seolah ‘menegur’ DAP, mengatakan jika satu insiden perlu dibayar dengan pembatalan seluruh program, bermakna DAP perlu membatalkan segala majlis anjuran parti terbabit kerana berkali-kali berlaku insiden penceramah celupar yang menyentuh soal kaum dan agama dalam ucapan mereka.

“Tetapi majlis seumpama itu tetap diteruskan dengan aturan yang lebih baik dan berhati hati.

“Jadi tiada sebab Minggu Solidariti Palestin perlu dibatalkan hanya kerana berlaku satu insiden yang tidak wajar.

“Pemuda AMANAH Terengganu menyeru pihak sekolah agar melaksanakan Minggu Solidariti Palestin mengikut garis panduan yang ditetapkan oleh KPM dengan menerapkan pemahaman nilai-nilai positif dan tidak mengetengahkan unsur-unsur yang memberi persepsi radikalisme, ekstremis, atau keganasan dalam program yang dianjurkan,” katanya lagi.

Pada masa sama Muammar menegaskan, pelajar tidak perlu diminta menjadi “neutral” dalam soal Palestin kerana apa yang benar dan salah jelas terpampang.

“Siapa penindas dan siapa ditindas juga tidak samar samar. Memilih untuk menjadi neutral adalah sikap yang menguntungkan penindas,” ujarnya.

Terdahulu, sekumpulan tiga Ahli Parlimen dan sembilan Adun PKR menggesa KPM mengkaji semula keputusan menganjurkan Minggu Solidariti Palestin di sekolah dan institusi pendidikan awam.

Dalam satu kenyataan bersama, kumpulan itu yang kesemuanya terdiri daripada etnik Cina berkata, program tersebut perlu dikaji semula supaya sekolah dan institusi awam bebas daripada unsur kebencian dan keganasan.

Sebelum itu DAP turut membuat gesaan serupa agar program itu dikaji semula dan tindakan diambil terhadap mereka yang menyokong tindakan ganas, di samping menegaskan pendiriannya dalam solidariti terhadap rakyat Palestin atas prinsip kemanusiaan.

Gesaan itu dibuat selepas tersebarnya gambar pelajar sekolah memegang senapang dan mesingan mainan, sambil mengenakan selendang kufia dan ikat kain di kepala yang tertera sokongan untuk Palestin.

Tiada ulasan: