"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Tak iktiraf Hamas pengganas, Malaysia terima 2 notis dari AS

Mohamad Fadli

KUALA LUMPUR: Putrajaya menerima dua notis tata tindak daripada kedutaan Amerika Syarikat (AS) kerana keengganan Malaysia mengiktiraf Hamas sebagai kumpulan pengganas, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Anwar berkata dua notis yang dipanggil demarche itu diterima Kementerian Luar, masing-masing pada 13 dan 30 Okt lalu.

“Oleh kerana keengganan kita untuk membantah tindakan Hamas dan tidak menganggap Hamas sebagai pengganas.. saya juga mendapat maklumat dan (diberitahu) Kementerian Luar sudah menerima ‘demarche’ iaitu tata tindak daripada kedutaan AS sebanyak dua kali.

“Ia disebabkan pendirian terutama keengganan kita menganggap Hamas sebagai badan pengganas,” katanya dalam Waktu Pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat.

Selain menerima dua notis daripada kedutaan AS itu, perdana menteri berkata, duta besar Malaysia di Washington juga dipanggil oleh Jabatan Negara AS dan ditekan mengenai pendirian Putrajaya terhadap isu Palestin.

Walaupun menerima pelbagai ugutan dan amaran dari pelbagai pihak, perdana menteri menegaskan Malaysia tidak akan tunduk pada tekanan.

Anwar sebelum ini mendedahkan beliau menerima banyak ugutan daripada negara luar, susulan ketegasan Malaysia mempertahankan nasib rakyat Palestin. Bagaimanapun beliau tidak menyatakan negara luar tersebut.

“Kita adalah antara negara terkehadapan memperjuangkan isu Palestin.

“Pendirian tegas Malaysia turut dikongsi bersama 119 negara-negara anggota Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) semasa mesyuarat tergempar Majlis Keselamatan PBB pada 27 Okt yang lalu,” katanya.

Tiada ulasan: