"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Puad Zarkashi: Kemampuan Pas tersekat di empat negeri sahaja

AKMAL MANAF 

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Mohd Puad Zarkashi senada dengan pendapat Khairy Jamaluddin bahawa pemimpin Pas kurang terdedah di peringkat antarabangsa dan mesti keluar dari tempurung kerajaan empat negeri (SG4).

Puad berkata, beliau tidak pernah mendengar pemimpin Pas berdialog di Harvard Business Club, Council on Foreign Policy USA atau Nikkei Jepun.

”Menurut KJ (Khairy) ada pemimpin Pas tolak jemputan daripada Yusof Ishak Institute Singapura.

”Setakat hadir seminar di Timur Tengah tidak memadai. Itu pun Haji Hadi (Awang) tidak berfungsi sebagai wakil khas ke Timur Tengah bertaraf Menteri. Dia gagal bantu tambah kuota haji.

”Pemimpin Pas takut berdialog di arena antarabangsa khususnya dengan pemimpin perniagaan dan media antarabangsa. Kemampuan Pas tersekat di SG4 sahaja dan tidak cukup kemampuan untuk menjadi peneraju negara,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.

SG4 merujuk kepada empat negeri ditadbir Pas iaitu Kedah, Kelantan, Terengganu, dan Perlis.

Hantaran Puad di Facebooknya hari ini sebagai mengulas kenyataan Khairy yang juga bekas Ketua Pemuda Umno dalam podcast Keluar Sekejap pada 24 Oktober lalu, yang melihat pendedahan pemimpin Pas di peringkat antarabangsa masih tidak mencukupi.

Khairy yang juga Felo di Yusof Ishak Institute, Singapura berkata institut itu meminta Pas berinteraksi dengan mereka, malah dakwanya ada seorang pemimpin parti itu menolak jemputan yang diaturnya untuk satu sesi persidangan pada tahun depan.

Pada 26 Oktober lalu, Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari menolak dakwaan Khairy bahawa parti itu ‘kurang terdedah’ di peringkat antarabangsa.

Ahmad Fadhli berkata, pihaknya sering menghadiri persidangan di Timur Tengah dan beberapa lokasi lain walaupun bukan atas nama kerajaan tetapi parti.

”Tetapi kadangkala mungkin kita hadir ke peringkat antarabangsa tetapi maklumat itu tidak sampai kepada rakyat.

“Dan kita kurang dari sudut ketersampaian maklumat penglibatan kita menyebabkan rakyat tidak nampak penglibatan,” katanya memetik FMT.

Tiada ulasan: