"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Zakir Naik hasrat derma RM1.52 juta dari Ramasamy untuk Palestin

Malaysiakini

Pendakwah Zakir Naik merancang mendermakan wang ganti rugi RM1.52 juta daripada bekas timbalan ketua menteri II Pulau Pinang P Ramasamy kepada perjuangan Palestin.

Zakir menyatakan penghargaannya kepada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur kerana memberikan ganti rugi fitnah dalam saman sivilnya terhadap Ramasamy.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Mahkamah Tinggi Malaysia kerana mengarahkan Ramasamy, bekas timbalan ketua menteri Pulau Pinang, untuk membayar saya RM1.52 juta sebagai ganti rugi fitnah.

"Saya berhasrat mendermakan jumlah penuh RM 1.52 juta kepada perjuangan Palestin.

“Saya berdoa semoga Allah menerima daripada saya ikhtiar yang tidak seberapa ini (dengan niat) kerana-Nya," katanya pada satu hantaran di Facebook.

Menurut pendakwah itu lagi, rakyat Palestin menjalankan kewajipan bersama bagi pihak semua umat Islam dengan melindungi Masjid Al-Aqsa.

"Saya berdoa semoga Allah memberikan keteguhan dan kemenangan kepada perjuangan Palestin.

"Semoga Dia meringankan penderitaan saudara-saudara kita di Palestin, menguatkan mereka melawan penindas mereka, dan memasukkan para syuhada mereka ke darjat tertinggi di Syurga. Amin," katanya.

Pada Khamis, mahkamah sivil membenarkan dua saman sivil oleh warga India itu terhadap bekas ahli DAP tersebut.

Hakim Hayatul Akmal Abdul Aziz memutuskan ketiga-tiga unsur fitnah telah dibuktikan oleh Zakir bagi lima kenyataan terbuka yang dibuat oleh Ramasamy.

Mahkamah kemudian memerintahkan Ramasamy membayar sejumlah RM1.45 juta sebagai ganti rugi fitnah kepada Zakir, dan RM70,000 lagi untuk kos.

Susulan keputusan mahkamah itu, Ramasamy telah melancarkan kempen mengumpul dana untuk membantunya membayar Zakir.

Difahamkan setakat semalam, kempen itu telah mengumpul lebih RM230,000.

Tiada ulasan: