"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Bekas menteri agama lelong jam Rolex hadiah dari Raja Saudi untuk Palestin

Malaysiakini
story-image
Bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Zulkifli Mohamad melelong jam tangan kesayangan berjenama Rolex untuk disumbangkan kepada Palestin.

Jam tangan kurniaan Raja Saudi itu dibuka untuk bidaan dengan harga permulaan sebanyak RM40,000 dan hasil jualan akan disumbangkan sepenuhnya kepada rakyat Palestin yang menderita akibat kekejaman rejim Zionis.
"Menjunjung kasih DYMM Al-Malik Salman bin Abdulaziz atas derma kurnia yang amat bermakna ini. Titah Baginda untuk sentiasa bersederhana, mengutamakan perpaduan ummah dan memartabatkan agama sentiasa akan saya semat dalam hati. 

"Dengan menjunjung titah tersebut dan meraikan kesungguhan Kerajaan Arab Saudi menyalurkan sumbangan billion dollar kepada Palestin saban tahun, saya ingin membuka bidaan jam Rolex kesayangan saya ini dengan harga tapak RM40,000. 

"Kenaikan bermula RM100 ke atas. Hasil bidaan akan didermakan sepenuhnya untuk kebajikan rakyat Palestin yang sedang menderita di sana. Saya buka kepada yang berminat, untuk membida di ruang komen," katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Menurutnya, bidaan ditutup pada 31 Oktober ini pada jam  12.00 tengah malam.

Mengulas lanjut, Zulkifli berkata jam kurniaan Raja Saudi itu diterimanya pada 2017 telah lama berada dalam simpannya dan dibuka kotaknya pada 2021.

Katanya, ketika itu, dia diminta oleh kerajaan Malaysia selaku mufti Wilayah Persekutuan untuk mewakili semua para mufti dan para ulama Malaysia dan menyampaikan ucapan di hadapan Raja Saudi, DYMM Al-Malik Salman bin Abdulaziz.

"Saya tidak buka kotak cenderamata tersebut. Ia disimpan di pejabat saya di Putrajaya, sehinggalah saya dilantik sebagai menteri. Semasa saya menjawat jawatan menteri, kotak tersebut dipindahkan ke pejabat kedua saya di Kompleks Pusat Islam Kuala Lumpur. 

"Apabila saya meletakkan jawatan sebagai menteri pada 2021, kotak tersebut dipindahkan ke pejabat peribadi saya. Di sana, barulah saya membukanya sebagai tanda penghargaan atas derma kurnia daripada Raja Saudi," katanya.

Setakat jam 2.29 petang tadi, katanya,  bidaan tertinggi jam tangan itu berjumlah sebanyak RM100,000.

Tiada ulasan: