PETALING JAYA – Kekejaman Israel ke atas penduduk Palestin ketika ini memberi kesan kepada ramai pihak sehingga mereka mula memboikot segala barangan berkaitan negara tersebut.
Tindakan ini juga turut dilakukan segelintir peniaga warung dan kedai makan yang dilihat menghentikan penjualan minuman popular di kedai mereka serta-merta.
Seperti perkongsian tular baru-baru ini, satu notis yang dipercayai ditampal di sebuah kedai makan menyatakan minuman berasaskan dua jenama terkenal dalam kalangan pelanggan tidak lagi dijual sebagai tanda protes insiden pembunuhan beramai-ramai ke atas rakyat Palestin.
“Tiada penjualan minuman (jenama ini) di premis,” jelas notis itu.
Bukan itu sahaja, pemilik premis turut menegaskan bahawa mereka tidak lagi menjual apa sahaja produk daripada jenama besar yang menyalurkan dana kepada Israel.
“Bermula hari ini kami tidak lagi menjual barangan keluaran produk Israel sebagai tanda membantah kekejaman Yahudi laknatullah dan perasaan simpati buat bumi Palestin.
“Kami akan cuba gantikan barangan tersebut dengan jenama yang lebih sesuai. Kami memohon kemaafan buat semua pelanggan. Insya-Allah kita cuba sekadar yang termampu,” tambah notis itu.
Seorang lagi pemilik warong nasi ayam, Md. Syukri membuat pengumuman bahawa kedainya juga tidak lagi menyediakan minuman berasaskan jenama keluaran Israel atau mana-mana negara yang menyokong negara tersebut.
“Minta maaf buat pelanggan kedai kami. Mulai hari ini (semalam), tiada lagi jualan minuman jenama (sedemikian), moga dengan cara ini sama-sama kita tunjuk tanda protes terhadap kekejaman negara Israel dan pemimpinnya,” katanya dalam hantaran di Facebook semalam. – KOSMO! ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan