"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Dokumen rancangan usir 2.2 juta penduduk Gaza ke Mesir terbongkar

Agensi
letupan-681x454
Gaza dimusnahkan secara total bagi memudahkan Israel membina semula bandar baru untuk pendatang Yahudi?
TEL AVIV – Dokumen rasmi rancangan untuk mengusir 2.2 juta rakyat Palestin yang tinggal di Gaza ke Mesir terbongkar.

Beberapa portal berita Israel melaporkan dokumen 10 muka surat bertarikh 13 Oktober iaitu tujuh hari selepas serangan Hamas pada 7 Oktober disediakan oleh Kementerian Perisikan Zionis.

Dokumen itu menilai tiga pilihan mengenai masa depan rakyat Palestin di Semenanjung Gaza dalam rangka perang semasa, dan mengesyorkan pemindahan penuh penduduk sebagai tindakan pilihan.

Ia turut mengusulkan agar rancangan itu mendapat sokongan penuh masyarakat antarabangsa.

“Dokumen itu mengesyorkan supaya Israel bertindak “mengusir penduduk awam ke Sinai” semasa perang; menubuhkan bandar khemah dan kemudiannya lebih banyak bandar kekal di utara Sinai yang akan menyerap penduduk yang diusir.

“Dan kemudian mewujudkan “zon steril beberapa kilometer dalam Mesir, dan menghalang kembalinya penduduk ke aktiviti/kediaman berhampiran sempadan dengan Israel.

“Pada masa yang sama, kerajaan di seluruh dunia, yang dipimpin oleh Amerika Syarikat, mesti digerakkan untuk melaksanakan langkah itu,” kata portal Local Call/+972.

Sumber di Kementerian Perisikan Israel mengesahkan kepada portal tersebut bahawa dokumen itu adalah sahih dan ia telah diedarkan kepada pertubuhan pertahanan oleh bahagian dasar kementerian dan “tidak sepatutnya sampai ke media.”

Kewujudan rancangan itu pertama kali dilaporkan minggu lalu dalam akhbar perniagaan Israel Calcalist.

Pelan pemindahan dibahagikan kepada beberapa peringkat dengan peringkat pertama, tindakan mesti diambil supaya penduduk Gaza “bergerak ke selatan” manakala serangan udara tertumpu di utara Semenanjung Gaza.

Pada peringkat kedua, pencerobohan darat ke Gaza akan bermula, membawa kepada pendudukan seluruh semenanjung dari utara ke selatan, dan “pembersihan kubu bawah tanah pejuang Hamas.”

Serentak dengan pendudukan semula Gaza, orang awam Palestin akan dipindahkan ke wilayah Mesir dan tidak dibenarkan pulang.

“Adalah penting untuk membiarkan laluan perjalanan ke selatan terbuka untuk membolehkan pemindahan penduduk awam ke Rafah,” kata dokumen itu.

Dokumen itu mencadangkan untuk mempromosikan kempen yang menyasarkan orang awam Palestin di Gaza yang akan “memotivasikan mereka untuk menerima rancangan ini” dan menyebabkan mereka menyerahkan tanah mereka.

“Mesej yang disampaikan harus berkisar tentang kehilangan tanah, menjelaskan bahawa tidak ada harapan untuk kembali ke wilayah yang akan diduduki Israel.

“Imej itu perlu, ‘Allah pastikan anda kehilangan tanah ini kerana kepimpinan Hamas – tiada pilihan selain berpindah ke tempat lain dengan bantuan saudara Islam anda,” kata dokumen tersebut.-Agensi
-MalaysiaGazette

Tiada ulasan: