"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Budak 12 tahun diterima masuk program ijazah UM

FMT Reporters

Universiti Malaya mengesahkan kemasukan pelajar cemerlang, Izz Imil Shahrom ke program Ijazah Sarjana Muda Sains Matematik.
Izz Imil Shahrom (tengah) bersama ibu bapa, Menteri Pendidikan Zambry Abdul Kadir, dan Naib Canselor UM Noor Azuan Abu Osman (kanan). (Gambar UM)
PETALING JAYA: Universiti Malaya (UM) mengesahkan kemasukan pelajar cemerlang berusia 12 tahun, Izz Imil Shahrom, ke program Ijazah Sarjana Muda Sains Matematik.

Naib Canselor UM Noor Azuan Abu Osman, Izz Imil telah melalui proses temu duga dengan Jawatankuasa Khas universiti dan diluluskan Senat Universiti bagi menyambung pengajian.

Dalam pada itu, Noor Azuan memohon agar semua pihak memberikan ruang dan privasi kepadanya untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran universiti.

Perkara ini penting bagi membolehkan beliau dapat melalui proses tumbesaran yang kondusif di samping menjalani pengajian dengan baik, katanya dalam kenyataan.

Semalam, Izz Imil yang mendaftar masuk ke UM mendapat perhatian ramai selepas kisahnya tular di media sosial dan rata-rata warganet kagum dengan kepintaran serta kebijaksanaan kanak-kanak itu.

Kisah Izz Imil pernah menjadi perhatian apabila berupaya menyelesaikan soalan matematik dan kimia Tingkatan Empat ketika berusia lima tahun.

Memetik laporan Berita Harian pada 2018, Izz Imil yang menghidap autisme tahap sederhana dan hyperlexia, cenderung dalam matematik dan sains.

Difahamkan, remaja pintar itu juga pernah mengikuti pembelajaran Tingkatan Satu di Permata Pintar, Universiti Kebangsaan Malaysia ketika berusia enam tahun.

Sementara itu, ditanya sama ada Izz Imil merupakan pelajar termuda mendaftar masuk di UM, Noor Azuan bagaimanapun berkata pihak universiti masih belum dapat memberikan pengesahan secara rasmi.

Tiada ulasan: