"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kenderaan yang tersadai di Pelabuhan Klang dilarikan dari tempat simpanan, pemilik kapal repot polis

Lynelle Tham

Satu siaran langsung di Tiktok menunjukkan sekumpulan individu berada di tempat simpanan kereta dan dipercayai melarikan beberapa kenderaan.
Kenderaan yang tersadai di Pelabuhan Klang
Beberapa kenderaan tersadai di Pelabuhan Klang dengan ada antaranya mengalami pelbagai kerosakan akibat kebakaran di kapal MV Malaysia Star pada 3 Dis lalu.
PETALING JAYA: Pemilik sebuah kapal kargo yang terbakar ketika mengangkut kenderaan ke Sabah pada Disember lalu membuat laporan polis selepas sekumpulan individu didakwa menceroboh tempat penyimpanan dan melarikan sejumlah kereta.

Wakil undang-undang MV Malaysia Star, Jeremy Joseph, berkata pemilik kapal itu menyedari kejadian tersebut petang ini selepas melihat siaran langsung di TikTok yang disiarkan oleh kumpulan itu sendiri.

Siaran langsung itu menunjukkan sekumpulan individu berada di kawasan parkir bawah tanah yang menempatkan sejumlah kereta. Bagaimanapun, ia tidak menunjukkan kejadian pencerobohan atau melarikan kenderaan terbabit.

“Mereka melakukan perbuatan jenayah, dan mesti memulangkan kereta itu,” kata Joseph kepada FMT.

Menurutnya, sebanyak 34 kenderaan ditempatkan di sebuah tempat penyimpanan di Pelabuhan Klang di bawah lien susulan kebakaran kapal kargo tersebut.

Joseph berkata pemilik kapal akan menggunakan semua saluran undang-undang, sama ada sivil atau jenayah, untuk mendapatkan semula kenderaan yang dilarikan itu.

“Sebelum sampai ke tahap itu, kami menggesa sesiapa yang memandu keluar kenderaan dari tempat penyimpanan itu supaya segera memulangkannya semula,” katanya.

“Kami berharap mendapat kerjasama daripada orang ramai dan penyelesaian segera isu ini.”

Kapal itu terbakar di kedudukan 9 batu nautika berhampiran Tanjung Labuh, Batu Pahat, dalam pelayaran ke Kota Kinabalu pada 3 Dis, memaksanya ditunda kembali ke Pelabuhan Klang. Beberapa kenderaan rosak dalam kejadian itu.

Pada 18 Feb lalu FMT melaporkan, pemilik kenderaan terbabit berkata mereka dimaklumkan perlu membayar 60% nilai kereta kepada syarikat perkapalan untuk mendapatkan kembali kereta mereka, tanpa mengira sama ada mengalami kerosakan atau tidak dalam kebakaran itu.

Seorang daripadanya dimaklumkan ejen perkapalan bahawa kereta berkenaan ditahan disebabkan klausa mengikut undang-undang maritim yang menyatakan, jika berlaku kebakaran atau kerosakan di laut, kerugian perlu ditanggung bersama syarikat kapal dan pemilik kenderaan.

Pemilik kereta terbabit berkata, ejen perkapalan tidak memaklumkan mereka mengenai klausa itu terlebih dulu, menyebabkan ramai tidak pasti siapa yang patut dipertanggungjawabkan.

FMT telah menghubungi polis Klang dan Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook untuk mendapatkan maklum balas.

Tiada ulasan: