BHarianonline
KOTA KINABALU: Wanita warga China yang cedera parah selepas dihempap siling runtuh ketika makan bersama suaminya di sebuah restoran di Kompleks Segama di sini pada 7 Mac lalu, terpaksa dipotong kaki.
Suami mangsa yang enggan dikenali, mengesahkan doktor tidak dapat menyelamatkan kaki kiri isterinya, yang terpaksa dipotong segera.
"Dia masih memerlukan pembedahan kedua kerana turut mengalami kecederaan pada tulang belakang," katanya seperti dilaporkan The Star.
Restoran tersebut yang telah beroperasi selama dua tahun, dikendalikan oleh anak pasangan itu dan terletak di tingkat bawah sebuah bangunan empat tingkat.
"Kami tidak pernah menyangka perkara ini akan berlaku kepada kami," luah suami mangsa.
Beberapa laporan sebelum ini menyebut, penyewa sebelum ini telah membuat aduan mengenai kebocoran air dan serpihan konkrit yang jatuh dari siling restoran, yang juga adalah lantai unit di tingkat pertama.
Berikutan kejadian itu, penduduk yang tinggal di atas restoran telah dipindahkan sementara pihak berkuasa menjalankan siasatan terhadap keselamatan struktur bangunan tersebut.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan