Keerthi Shanggar
PETALING JAYA: ‘Blok progresif’ seperti Muda dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) masih mempunyai potensi dalam pilihan raya di sebalik prestasi hambar pada PRN Johor, kata penganalisis politik.
Mereka berkata, dua parti pembangkang kecil itu mampu melonjakkan pengaruh dengan meletakkan calon lebih baik, mengukuhkan organisasi akar umbi, termasuk mengadakan pakatan dengan parti seperti Parti Bersama Malaysia (Bersama) pimpinan bekas timbalan presiden PKR, Rafizi Ramli.
Asrul Sani daripada Asia Group, berkata Muda mesti menilai semula cara menterjemahkan partinya sebagai parti berasaskan belia; gaya kepimpinan, dengan wakil parti berkemampuan mencerminkan identiti teras Muda serta memberi sebab nyata kepada pengundi muda menyokong mereka.
“Kehilangan satu-satunya kerusi negeri milik Muda (Puteri Wangsa) menunjukkan wujud masalah lebih besar berkaitan daya tarikan, organisasi, dan pemilihan calon,” katanya kepada FMT.
Presiden Muda Amira Aisya Abdul Aziz, menang Puteri Wangsa pada 2022 menerusi pakatan bersama Pakatan Harapan (PH), namun beliau memilih tidak mempertahankan kerusi itu. Katanya, sebaliknya akan bertanding kerusi Parlimen pada PRU akan datang.
Muda mempertaruhkan pendatang baharu, Rashifa Aljunied, yang menerima 5,887 undi, iaitu kira-kira satu perlapan daripada 41,821 undi diperoleh calon menang PKR, Maszlee Malik.
Gabungan dengan Bersama
Penganalisis politik, James Chin dari Universiti Tasmania, berkata Muda dan PSM perlu mempertimbang membentuk pakatan dengan Bersama, yang disifatkannya semakin mendapat tempat dalam kalangan pengundi yang sukar didekati dua parti berkenaan sebelum ini.
Beliau berkata, meskipun Bersama tidak mencatatkan banyak kelebihan di Johor, kemunculannya menimbulkan persoalan baharu mengenai relevannya Muda dan PSM, di mana kekalahan mereka di Johor sememangnya sudah dijangka banyak pihak.
“Jika PSM, Muda, dan Bersama bergabung dalam gabungan atau dalam pakatan longgar sekalipun, saya rasa setiap parti akan mendapat manfaat,” katanya. Muda dilihat sukar mencapai kemajuan ketara jika bergerak solo, manakala PSM pula bergelut menterjemahkan aktivisme dan kerja akar umbi mereka kepada kemenangan pilihan raya.
“Satu-satunya waktu PSM memecah kebuntuan apabila mereka bekerjasama dengan PH,” katanya, merujuk kemenangan Pengerusi PSM Michael Jeyakumar Devaraj, sebagai Ahli Parlimen Sungai Siput pada PRU 2008 dan 2013.
Namun, Asrul berkata, PSM dan Muda tidak akan mampu menawarkan banyak kelebihan dalam kerjasama dengan Bersama, jika dua parti itu gagal memperkukuh organisasi lapangan mereka, menawarkan calon terbaik, serta menumpukan sumber di sebilangan kecil kerusi yang berpotensi menang.
Muda meletakkan empat calon di Johor, manakala PSM satu calon. Semua mereka hilang wang pertaruhan pilihan raya. Sebanyak 15 calon Bersama turut kehilangan wang pertaruhan masing-masing, namun parti itu berjaya menjejaskan keputusan di dua kerusi milik PH, membawa DUN dikuasai sebelum ini berpindah kepada Barisan Nasional (BN).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan