Malaysiakini
Amanah melihat pergolakan kerajaan Perlis adalah potret sebenar kegagalan PAS dan PN apabila diberi kuasa tanpa disiplin dan keupayaan mentadbir sekali gus menyaksikan ‘tebuk atap’ paling hina berlaku.
Naib presidennya Mahfuz Omar berkata, kemelut yang berlaku bukan lagi perbezaan pandangan sebaliknya perang terbuka dalam sebuah kerajaan apabila exco, Adun PN dan PAS melawan menteri besar dan parti itu sendiri.
“Krisis ini bukan baru, tetapi telah berlarutan lebih setahun. Pelbagai pertukaran kepimpinan dilakukan, pesuruhjaya PAS ditukar, pengerusi PN dilantik baru, rundingan tertutup diadakan namun semuanya gagal.
“Ini membuktikan satu hakikat yang tidak boleh disangkal. Masalah sebenar ialah perebutan kuasa dalaman PAS dan kegagalan PN mengawal gabungan sendiri.
“Perlis ialah sebuah negeri yang kecil keluasannya lebih kecil daripada sebuah daerah di Kedah, jumlah rakyatnya juga tidak ramai. Namun amat memalukan apabila negeri sekecil ini menjadi negeri paling tidak stabil, paling bercelaru dan paling memalukan dari sudut tadbir urus politik. Jika negeri kecil pun gagal diurus, ini bukan soal cabaran, ini soal ketidaklayakan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Bekas ahli parlimen Pokok Sena itu berkata demikian sebagai mengulas pergolakan kerajaan Perlis selepas tiga Adun PAS diumumkan terhenti keahlian parti serta-merta.
Tindakan itu diambil terhadap Adun Chuping, Saad Seman; Adun Bintong, Fakhrul Anwar Ismail dan Adun Guar Sanji, Mohd Ridzuan Hashim.
Ia dipercayai susulan pergolakan dihadapi kerajaan Perlis selepas tercetusnya usaha menjatuhkan kepimpinan Menteri Besar, Shukri Ramli.
"Apa yang berlaku hari ini ialah politik tebuk atap tahap paling hina dan mereka menebuk atap rumah yang mereka sendiri bina dan dirikan," kata Mahfuz.
Tebuk atap rumah sendiri
Merujuk kepada Langkah Sheraton pada tahun 2020, Mahfuz berkata PN ketika itu ‘menebuk atap rumah orang" kerana mahu mencuri dan kini berbuat demikian kepada "atap rumah sendiri".
“Dulu kala orang tebuk atap rumah sendiri sebab nak halau hantu raya atau pelesit yang tuan rumah bela dan dia sedang nazak. Lalu kaum keluarga panggil bomoh mai (datang) pelepas. Mungkin ada sungguh pelesit dalam kerajaan Perlis sehingga mandat rakyat dikhianati oleh kerakusan kuasa.
“Tiada tekanan luar, tiada musuh politik, kerajaan PN di Perlis sedang mengusik rakyat kerana tamak dan perebutan sesama sendiri.
“Lebih buruk, PAS yang selama ini mendakwa membawa politik Islam dan moral tinggi kini terdedah sebagai parti yang gagal mengurus dalaman sendiri.
“Perebutan pengaruh dalam PAS Perlis bukan lagi rahsia. Ia terbuka, berpanjangan dan memalukan. Agama dilaungkan di pentas, tetapi kuasa direbut di belakang tabir,” katanya.
Tambahnya, apabila Adun daripada parti dan gabungan yang sama hilang kepercayaan kepada kepimpinan sendiri, itu adalah tanda kegagalan total kepimpinan politik.
“PAS dan PN sudah hilang autoriti moral untuk bercakap soal kestabilan, integriti dan pentadbiran negara.
“Rakyat Perlis hari ini dijadikan tebusan kepada perbalahan dalaman yang tidak berkesudahan. Pentadbiran negeri terabai, keyakinan rakyat runtuh, dan imej politik Islam rosak oleh tangan PAS sendiri,” kata Mahfuz.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan