KOSMO!

Tangkap layar rakaman kamera papan pemuka memaparkan sebuah ambulans merempuh beberapa buah kenderaan di persimpangan lampu isyarat.
KUALA LUMPUR – Seramai tujuh individu cedera dalam kemalangan melibatkan sebuah ambulans Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) dan beberapa kenderaan di persimpangan lampu isyarat Jalan Usahawan 6, Setapak, di sini pagi tadi.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, kemalangan tersebut melibatkan dua buah kenderaan dan empat buah motosikal.
“Hasil siasatan awal mendapati sebuah kereta yang dipandu dari arah Wangsa Maju sedang bergerak lurus semasa lampu isyarat hijau.
“Pada masa sama, sebuah van ambulans PBSM yang datang dari arah Jalan Kilang dengan lampu kecemasan dan siren diaktifkan telah memasuki persimpangan ketika lampu isyarat merah lalu bertembung dengan kereta tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mohd Zamzuri berkata, berdasarkan semakan terhadap rakaman video kejadian yang tular di media sosial, didapati van ambulans berkenaan sememangnya memasang siren dan lampu mata arah.
“Walau bagaimanapun, pemandu ambulans tersebut perlu mengambil langkah memperlahankan kenderaan semasa menghampiri dan memasuki persimpangan lampu isyarat. Kes ini masih dalam siasatan lanjut pihak polis.
“Akibat perlanggaran itu, van ambulans terbabas dan melanggar beberapa buah motosikal serta sebuah kereta lain yang sedang berhenti di persimpangan lampu isyarat,” katanya.
Akibat kemalangan tersebut katanya, seorang penunggang motosikal lelaki berusia 40 tahun mengalami kecederaan parah iaitu patah tulang paha kaki kanan, manakala mangsa lain iaitu seorang pemandu serta penumpang ambulans, empat penunggang motosikal lelaki serta seorang kanak-kana perempuan berusia 9 tahun hanya mengalami kecederaan ringan seperti luka dan sakit di bahagian badan.
“Kesemua mangsa telah menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur.
“Van ambulans PBSM tersebut tiada pesakit dan sedang dalam perjalanan bagi memberi respons untuk mengambil pesakit di kawasan PPR Gombak Setia,” katanya.
Katanya, dua penunggang motosikal terlibat masih belum membuat laporan polis kerana sedang mendapatkan rawatan.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Saksi-saksi yang melihat kejadian ini diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Balai Polis Trafik Tun H.S. Lee di talian 03-2071 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya. – KOSMO! ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan