Dineskumar Ragu
PETALING JAYA: Bekas menteri besar Perlis, Shukri Ramli, langsung tidak menjangka ada rancangan untuk menumbangkan beliau di sebalik persahabatan dengan wakil-wakil rakyat terlibat.
Adun Sanglang itu melepaskan jawatan menteri besar petang tadi, berlatarkan kemelut yang tercetus apabila lapan Adun Perikatan Nasional (PN) — dikatakan lima daripada Bersatu dan tiga PAS — menarik balik sokongan kepadanya.
“Kesilapan sayalah terlalu baik dan terlalu menghargai persahabatan ini dan kita tidak langsung menjangkakan bahawa persahabatan ini yang menyebabkan kita dilakukan sedemikian,” katanya pada sidang media mengumumkan peletakan jawatan.
Shukri mendedahkan bahawa beliau masih melihat mereka sebagai sahabat, sebelum peristiwa yang menurutnya ‘tiba-tiba terjadi’.
“Maklumat langsung tidak dapat dikesan tiba-tiba terjadi saja. Saya pun dapat maklumat itu pada hari kejadian. Jadi… wallahualam. Itu kebijaksanaan mereka merancang,” katanya.
Situasi di Perlis mula dilaporkan FMT pada Isnin. Sumber memaklumkan lapan Adun menyerahkan akuan berkanun kepada Raja Perlis Jumaat lepas, menyatakan mereka tidak lagi menyokong Shukri.
Menurut sumber, lima daripada mereka terdiri daripada wakil rakyat Bersatu, iaitu Abu Bakar Hamzah (Kuala Perlis), Izizam Ibrahim (Titi Tinggi), Megat Hashirat Hassan (Pauh), Wan Zikri Afthar Ishak (Tambun Tulang), dan Marzita Mansor (Sena).
Semalam, PAS mengumumkan keahlian tiga Adun iaitu Saad Seman (Chuping), Fakhrul Anwar Ismail (Bintong) dan Mohd Ridzuan Hashim (Guar Sanji), terhenti serta-merta berdasarkan Fasal 76 dan Fasal 15A(1)(b) Perlembagaan PAS (Pindaan 2025).
Fasal 15A(1)(b) menyatakan keahlian seorang ahli dipilih sebagai seorang Adun terhenti serta-merta apabila ahli tersebut menyertai atau menyatakan sokongan kepada mana-mana pihak yang bertentangan dengan arahan atau pendirian parti.
Turut dilaporkan, Bersatu mengemukakan tiga nama Adunnya sebagai calon menteri besar, iaitu Abu Bakar Hamzah (Kuala Perlis), Megat Hashirat Hassan (Pauh) dan Izizam Ibrahim (Titi Tinggi), menurut Utusan Malaysia.
Sementara itu, Shukri menolak pertanyaan wartawan tentang hubungan antara parti dalam PN, susulan kemelut ini.
“Saya tak boleh jawab. Saya kena serah kepada pimpinan tertinggi PN. Kepimpinan tertinggi akan bermesyuarat dan melihat balik macam mana penerimaan ataupun hubungan antara parti dalam PN,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan