"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kelantan: (Video) Ramai rim pecah, tayar bocor lalu Jalan Taman Wangi, Gua Musang

KOSMO!
Gambar rim pecah dan kenderaan rosak yang dikongsikan Pengguna TikTok @Yieagrotech30 berhubung masalah jalan berlubang di Jalan Taman Wangi, Gua Musang.
PETALING JAYA – Keadaan Jalan Taman Wangi di Gua Musang, Kelantan didakwa rosak teruk sehingga menyebabkan ramai pengguna jalan raya mengalami kerosakan kenderaan termasuk rim pecah dan tayar bocor sejak beberapa minggu kebelakangan ini.

Menurut penduduk dan pengguna yang kerap melalui laluan tersebut, terdapat beberapa lubang besar serta permukaan jalan tidak rata yang sukar dikesan terutama pada waktu malam dan ketika hujan.

“Kesian kepada pengguna, ramai pecah rim, pecah tayar. Minta pihak berwajib ambil cakna, kalau tak kesian pengguna yang melalui jalan ni terutama di waktu air hujan bertakung dan di malam hari,” kata @Yieagrotech30.

Pengguna TikTok @Yieagrotech30 turut memuat naik beberapa gambar memaparkan deretan kenderaan yang mengalami kerosakan dalam satu malam terutama masalah keretakan pada rim selepas melalui Jalan Taman Wangi.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Mohd Syahbuddin Hashim dalam satu kenyataan berkata, isu kerosakan teruk di Jalan Taman Wangi, Gua Musang bukanlah masalah baharu, malah telah berlarutan sejak bertahun-tahun tanpa penyelesaian muktamad.

Katanya, jalan berkenaan mengalami kitaran kerosakan yang sama apabila hanya ditampal sementara sebelum kembali rosak dalam tempoh singkat, sekali gus membahayakan keselamatan pengguna.

Beliau menambah, pelbagai usaha telah dilakukan termasuk mengemukakan surat kepada Timbalan Menteri sejak Ogos lalu serta membuat susulan setiap bulan bagi mendesak tindakan segera diambil.

“Pada awal Disember, surat rasmi turut dihantar kepada Menteri Kerja Raya bagi memohon kelulusan segera lantikan kontraktor untuk membaiki jalan sementara, memandangkan kontraktor CSR asal telah ditamatkan. Namun, proses kelulusan mengambil masa yang terlalu lama,” katanya.

Menurut Mohd. Syahbuddin, kelulusan bagi kerja-kerja pembaikan dimaklumkan telah diperoleh Rabu laly dan beliau berharap tindakan dapat dilaksanakan segera.

“Terus terang saya letih berjuang kerana terasa seperti menumbuk angin. Yang paling menyayat hati ialah pengguna jalan raya yang terpaksa menanggung kerugian apabila tayar bocor dan rim rosak sedangkan mereka tidak bersalah,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tiada ulasan: