Dineskumar Ragu
PETALING JAYA: Krisis politik di Perlis yang menyaksikan Shukri Ramli meletakkan jawatan sebagai menteri besar susulan rancangan penyingkiran yang melibatkan rakan-rakan PAS dan Bersatu, berpotensi memaksa parti itu menilai semula kedudukannya dalam Perikatan Nasional (PN), kata penganalisis.
Hisomuddin Bakar dari Ilham Centre dan Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia berkata kebuntuan itu boleh mengukuhkan alasan supaya PAS keluar daripada PN dan kembali menjalin kerjasama dengan Umno di bawah Muafakat Nasional (MN), pakatan Melayu-Islam yang diasaskan bersama oleh kedua-dua parti pada 2019.
Katanya, PAS mungkin berasa dikhianati oleh Bersatu Perlis yang berpihak kepada tiga Adun PAS dalam menarik balik sokongan terhadap Shukri. Ketiga-tiga Adun PAS itu kemudiannya ditamatkan keahlian parti.
“Pada akhirnya, PAS gagal menyelesaikan krisis ini di meja rundingan. Isu Perlis tidak diuruskan melalui kerangka pendamaian yang sewajarnya antara parti komponen PN dan krisis ini berpotensi menjadi pemangkin kepada perpecahan yang lebih mendalam dalam PN,” katanya kepada FMT.
Bagaimanapun, Mazlan berkata masih belum pasti sama ada PAS secara realistik boleh bergabung dengan Umno, memandangkan perkara itu banyak bergantung kepada perkembangan politik akan datang.
Kenyataan itu menyusuli gesaan Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh supaya PAS keluar daripada PN dan menghidupkan semula MN susulan ketegangan baharu dalam gabungan tersebut, khususnya berkaitan jawatan menteri besar Perlis.
MN ditubuhkan pada 2019 bagi menyatukan kuasa politik Melayu selepas puluhan tahun persaingan antara PAS dan Umno. Namun, PAS kemudian bekerjasama dengan Bersatu untuk membentuk PN pada 2020, langkah yang dilihat Umno sebagai satu pengkhianatan.
Usaha mengintegrasikan Bersatu ke dalam MN gagal dan pakatan itu akhirnya runtuh pada Disember 2022 apabila Umno menyokong Presiden PKR Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri selepas PRU15.
Syaza Shukri dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berhujah bahawa krisis Perlis bersifat khusus di peringkat negeri, mencerminkan isu kepercayaan dan perebutan kuasa dalam PN, namun katanya ia tidak wajar dijadikan alasan untuk PAS meninggalkan gabungan itu.
“Keluar daripada PN dan menyertai Umno akan meletakkan PAS sepenuhnya dalam pakatan Melayu-Islam dan ini akan mengehadkan usaha parti itu untuk mendekati sokongan di luar asas Melayu,” katanya.
Hisomuddin menegaskan bahawa PAS dan Umno bersaing untuk kerusi majoriti Melayu yang sama, menjadikan pembentukan pakatan yang lancar sesuatu yang mencabar.
“Dalam pilihan raya umum lalu, banyak kerusi ini dimenangi PAS. Berdasarkan watak politik PAS, adalah sangat tidak mungkin parti itu akan menyerahkan kerusi-kerusi ini kepada Umno,” katanya.
Mazlan pula berkata Umno tidak mungkin meninggalkan kerajaan perpaduan, dengan merujuk kepada ketidakpercayaan berterusan terhadap PAS serta kegagalan MN sebelum ini.
“Umno kini berada dalam kedudukan baik selepas menyertai kerajaan perpaduan dengan mencatat beberapa kemenangan dalam pilihan raya kecil kebelakangan ini,” tambahnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan