"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

5 maut ketika solat isyak di masjid

KOSMO
Orang ramai berkumpul di luar masjid di bandar Maiduguri, Nigeria semalam. - Abubakar Muktar Abba/HumAngle
ABUJA – ​Sekurang-kurangnya lima orang terbunuh dalam letupan sebuah masjid di bandar Maiduguri, Nigeria ketika waktu solat isyak semalam.

​Agensi berita AP memetik polis sebagai berkata, 35 orang turut cedera dalam letupan  tersebut.

​”Siasatan awal menunjukkan letupan  mungkin berpunca daripada serangan bom bunuh diri,” kata jurucakap polis negeri Borno, Nahum Daso.

Menurutnya, ​siasatan untuk mengenal pasti punca sebenar kejadian masih dijalankan dan polis memeriksa kawasan sekitar untuk mengesan sebarang peranti letupan lain.

​Terdahulu, agensi berita AFP memetik sumber tempatan sebagai berkata, sekurang-kurangnya tujuh jemaah maut dalam letupan itu.

​Setakat ini, tiada kumpulan mengaku bertanggungjawab, namun masjid-masjid sebelum ini kerap menjadi sasaran kumpulan militan.

​Seorang pemimpin militia dipetik  AFP sebagai berkata, bom itu disyaki diletakkan di dalam masjid sebelum meletup ketika jemaah sedang mengerjakan solat. 

Maiduguri merupakan ibu negeri Borno yang terletak di timur laut Nigeria.

Kawasan itu merupakan lokasi aktif kumpulan seperti Boko Haram dan cawangannya, Negara Islam Wilayah Afrika Barat (ISWAP) selama hampir dua dekad.

​Bandar Maiduguri tidak mencatatkan sebarang serangan besar sejak tahun 2021. 

Bagaimanapun, kesan konflik masih jelas kelihatan di bandar tersebut dengan kewujudan pusat pemeriksaan yang kerap dan rondaan tentera. – AGENSI 

Tiada ulasan: