Omar Ahmad
JOHOR BAHRU: Dua lelaki warga Singapura ditahan selepas terbabit dalam pergaduhan di dalam kawasan Balai Polis Larkin, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan (JBS), di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, kejadian berlaku jam 6.15 petang ketika kedua-dua suspek berusia 56 dan 46 tahun berada di kaunter aduan balai polis berkenaan.
Katanya sebelum kejadian itu, kedua-dua lelaki itu dibawa ke balai polis oleh anggota polis selepas terbabit dalam pergaduhan di pusat beli-belah di bandar raya ini, pada hari yang sama.
“Namun ketika seorang daripada suspek sedang membuat laporan polis di kaunter aduan, seorang lagi suspek datang ke kaunter aduan dan berlaku serangan secara tiba-tiba sehingga tercetus pergelutan.
“Bagaimanapun, kejadian itu berjaya dileraikan oleh anggota polis yang sedang bertugas,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurut Raub, akibat pergaduhan berkenaan kedua-dua suspek mengalami kecederaan ringan dan menerima rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Sultanah Aminah (HSA).
Katanya, siasatan mendapati pergaduhan awal antara kedua-dua suspek berlaku sekitar jam 5.20 petang di aras satu di pusat beli-belah.
“Insiden dipercayai berpunca daripada salah faham apabila isteri kepada salah seorang suspek menegur tindakan suspek yang didakwa hampir melanggarnya.
“Wanita berkenaan dipercayai terkena tumpahan air minuman bir susulan insiden itu. Pertikaian itu menyebabkan pergaduhan sehingga memerlukan campur tangan polis yang sedang menjalankan rondaan di kawasan terbabit,” katanya.
“Hasil saringan awal mendapati kedua-dua suspek bebas daripada pengaruh dadah, dan kedua-duanya direman selama dua hari sehingga esok bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 160 Kanun Keseksaan kerana bergaduh di tempat awam serta Seksyen 90 Akta Polis 1967,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan