Ruwaida Md Zain
SHAH ALAM: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menegaskan kesukaran membanteras ajaran sesat Qadiani tiada kaitan dengan Istana Selangor seperti yang didakwa.
Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad, berkata pihaknya merujuk rakaman dimuat naik melalui platform TikTok pada 8 Disember lalu berhubung ajaran sesat di Selangor serta mengaitkannya dengan pihak tertentu termasuk institusi istana.
Katanya, semakan awal mendapati individu yang menyampaikan ceramah itu adalah penceramah yang memiliki tauliah mengajar agama Islam di Selangor di sebuah masjid di Puchong.
“Dakwaan penceramah itu JAIS sukar dalam mengambil tindakan undang-undang terhadap Qadiani kerana dinaungi oleh orang atasan yang ada hubungan dengan pihak istana adalah tidak benar sama sekali.
“JAIS menyifatkan kenyataan penceramah itu tidak bertanggungjawab dan suatu perbuatan menghina Sultan Selangor sebagai Ketua Agama Islam bagi Negeri Selangor dan ketegasan baginda dalam mengekang serta membanteras sebarang penyelewengan akidah dan ajaran sesat di negeri ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Shahzihan menjelaskan, kesukaran tindakan terhadap Qadiani berlaku kerana ia difatwa terkeluar daripada agama Islam pada 24 September 1998 dan 17 Ogos 2000.
“Keputusan fatwa ini memberi kesan kepada bidang kuasa Penguatkuasa Agama JAIS yang hanya boleh menguatkuasakan undang-undang jenayah syariah kepada orang Islam sahaja sebagaimana dinyatakan di bawah Subseksyen 1(2) Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995.
“JAIS juga tidak pernah menerima sebarang aduan atau maklumat tentang adanya individu tertentu yang ada kaitan rapat dengan istana yang menjadi dalang kepada wujud dan bertapaknya ajaran Qadiani di Selangor,” katanya.
Sehubungan katanya, Setiausaha Jawatankuasa Tauliah, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) akan meneliti fakta ini sama ada ia suatu kenyataan yang berlawanan dengan ketetapan Peraturan-Peraturan Tauliah Bagi Pengajaran Agama Islam (Negeri Selangor) 2024 atau sebaliknya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan